arena

Jupha menyerlah di Vietnam

Oleh Azlan Muhammad Zain

Pelumba negara, Jupha Somnet muncul antara yang menyerlah pada perlumbaan Piala Biwase 2019 di Vietnam yang berakhir semalam.

Pelumba kelahiran Perlis terbabit menaiki podium sebanyak dua kali apabila meraih kedudukan kedua pada peringkat pertama dan sembilan selain tempat ketiga dalam kategori pecut keseluruhan.

Jurulatih lebuh raya wanita negara, Amir Mustafa Rusli, gembira dengan Jupha serta rakan sepasukannya yang tidak pulang dengan tangan kosong.

“Ia adalah perlumbaan yang berkualiti kerana turut membabitkan pasukan wanita dari Korea Selatan, Australia, Itali, Thailand, Singapura dan Filipina,” katanya.

Selain Jupha, turut beraksi di Piala Biwase adalah Masziyaton Mohd Radzi, Nurqadrina Emylia Norazli, Nor Aisyah Munirah Chek Ramli dan Nurul Nazirah Rosli pada saingan yang mempertandingkan sembilan peringkat perlumbaan itu.

“Keputusan ini turut menunjukkan persiapan ke arah meraih pingat di Sukan SEA Filipina berada di landasan tepat namun lebih banyak kejohanan diperlukan bagi memberikan persediaan yang mencukupi kepada pelumba.

“Mereka akan terus diberi peluang menyertai kejohanan termasuk Jelajah Thailand pada bulan depan disusuli latihan di China pada Mei nanti,” tambah bekas pelumba Olimpik 2012 itu.

Disiarkan pada: March 17, 2019 @ 9:21pm
d