arena

Gol Nik Azli 'ikat' Australia

Oleh Syazwan Msar

KETINGGIAN pemain lawan tidak menghadirkan masalah buat pasukan Bawah 23 kebangsaan (B-23) untuk memberi tentangan sengit apabila berjaya mengikat Australia 1-1 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, malam ini.

Pujian harus diberikan kepada mereka apabila tidak berputus asa mencari gol penyamaan walaupun terpaksa bersaing dengan pasukan lawan yang mempunyai fizikal lebih tinggi sebelum berjaya merealisasikannya pada masa tambahan separuh masa kedua.

Separuh masa pertama menyaksikan perlawanan agak seimbang apabila masing-masing melakukan serangan ke kubu lawan bagi memburu gol pertama.

Skuad Kanggaru hampir memecah kebuntuan apabila kesilapan penjaga gol Haziq Nadzli yang gagal melakukan hantaran kemas pantas disambar Joseph Champness namun sepakannya sedikit tersasar.

Malaysia pula berpeluang berada di hadapan pada minit 28 menerusi penyerang Akhyar Rashid namun sepakannya sedikit tersasar.

Separuh masa kedua menyaksikan Kim Swee melakukan sekurangnya empat pertukaran pemain dengan memasukkan Evan Wensley, Faisal Abdul Halim, Damien Lim dan Danial Haqim Draman.

Namun, percaturan itu tidak menjadi malah pasukan pelawat pula berjaya menjaringkan gol menerusi tandukan Brandon Wilson pada minit ke-49.

Tersentak dengan gol terbabit, pasukan negara cuba mencorakkan serangan ke kubu lawan namun penyudah yang tumpul menyebabkan tiada sebarang gol berjaya dicipta.

Gol yang dicari tuan rumah akhirnya menjelma apabila Nik Azli Nik Alias berjaya menyamakan kedudukan pada masa tambahan.

Disiarkan pada: March 17, 2019 @ 11:03pm
d