arena

Inter akhiri rekod kemenangan Milan

Oleh Reuters

INTER Milan memintas pasukan tetangga AC Milan di tempat ketiga Serie A selepas menang 3-2 di San Siro sekali gus menamatkan kemenangan lima perlawanan berturut-turut skuad tuan rumah yang dikendalikan Gennaro Gattuso, awal pagi tadi.

Jaringan Matias Vecino memberikan gol pendahuluan buat Nerazzurri sebelum rehat disusuli tandukan Stefan De Vrij dan penalti Lautaro Martinez pada babak kedua manakala gol Rossoneri diperolehi melalui Tiemoue Bakayoko dan Mateo Musacchio.

Kemenangan itu melegakan jurulatih Inter, Luciano Spalletti yang mendapat tekanan hebat selepas pasukannya tersingkir daripada saingan peringkat 16 terakhir Liga Europa di tangan Eintracht Frankfurt pada Khamis lalu.

Beliau berpuas hati dengan kemampuan mengekalkan kemenangan aksi ‘derby’ Milan kepada enam perlawanan, pencapaian terbaik mereka sejak 1999 dan meraih 53 mata, dua mata mata mengatasi Milan di tempat keempat.

“Kami perlu berterima kasih kepada Lautaro kerana penaltinya, tahniah kepada (Ivan) Perisic di atas lariannya dan tahniah di atas apa yang mereka lakukan," kata Spalletti.

“Saya fikir Milan mempamerkan aksi cemerlang dan Gennaro Gattuso sudah pasti bangga dengan pemainnya. Dalam aksi terbuka dan menarik ini, sesiapa sahaja boleh menang atau kalah.

"Bandar Milan terhibur dengan aksi Derby della Madonnina dan kami bangga dengannya.”

Inter mendahului pada minit ketiga apabila bola tandukan Martinez yang mendapat hantaran daripada sebelah kanan Perisic singgah di kaki Vecino yang mudah merembat masuk dari jarak dekat.

Mereka menggandakan kedudukan pada minit ke-51 menerusi tandukan De Vrij yang melepasi jangkauan penjaga gol Gianluigi Donnarumma tetapi Milan membalas enam minit kemudian apabila Bakayoko menjaringkan gol pertamanya sejak dipinjamkan Chelsea.

Pemain gantian Milan, Sami Castillejo mengasari pemain sayap Matteo Politano dan Martinez menyempurnakan penalti pada minit ke-67 untuk gol ketiga Inter.

Tetapi Milan enggan mengalah apabila Musacchio menjaringkan gol empat kemudian selepas menolak bola muntah tampanan penjaga gol Samir Handanovic dan keputusan kekal sehingga tamat perlawanan.

Disiarkan pada: March 18, 2019 @ 8:58am
d