arena

Perginya seorang legenda ragbi negara

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

BEKAS ketua pasukan ragbi kebangsaan, Badrul Hisham Basri, 43, meninggal dunia di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, hari ini.

Berita sedih itu dimaklumkan oleh Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) menerusi aplikasi WhatsApp.

Difahamkan, arwah yang juga seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Sirajuddin, rebah di rumahnya petang tadi ketika hendak keluar untuk latihan ragbi di sekolahnya sebelum dikejarkan ke hospital.

Disyaki arwah mengalami sakit jantung, namun setakat ini tidak diketahui punca sebenar kematiannya dan bedah siasat sedang dijalankan.

“Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan dipermudahkan segala urusan. Jenazahnya akan dibawa ke rumah ibunya di Kampung Alor Lanchang, Jejawi, Arau,” menurut KRM.

Badrul Hisham yang juga seorang guru berasal dari Perlis, mula mewakili negara dari 2000 hingga 2006 dalam skuad kebangsaan, 7 sebelah dan 15 sebelah.

Antara kejohanan peringkat antarabangsa yang pernah disertai beliau adalah 7 Sebelah Hong Kong pada 2001 dan 2002, Kejohanan Divisyen 2 Kesatuan Ragbi Asia (2002-2006), Sukan Asia (2002) dan Sukan Komanwel Manchester (2002).

Selain itu beliau juga pernah mewakili Selangor dan Perlis pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 1998 serta Piala Agong dari 1998 hingga 2018.

Disiarkan pada: March 18, 2019 @ 8:50pm
d