arena

Chong Wei tak pertahan gelaran

Oleh Ferzalfie Fauzi

DATUK Lee Chong Wei sah tidak akan mempertahankan kejuaraan pada kejohanan Terbuka Malaysia bulan depan.

Ia bermakna peminat badminton negara terpaksa menunggu lebih lama untuk melihat bekas pemain nombor satu dunia itu kembali beraksi selepas berehat panjang susulan penyakit kanser hidung.

Chong Wei yang menjalani rawatan susulan semalam dan kelmarin di Taiwan tidak menyertai mana-mana kejohanan sejak Julai lalu.

Sebelum ini Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyenaraikan nama pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu selepas dia mula turun berlatih sejak Januari lalu.

Menurut kenyataan BAM hari ini, Chong Wei dinasihatkan oleh doktor pakar di Taiwan supaya tidak menyertai kejohanan itu.

“Selepas rawatan di Taiwan, kami dimaklumkan Chong Wei sah sudah sihat dan proses pemulihan berjalan lancar,” menurut kenyataan itu.

Namun BAM menyatakan, bagi mengelak sebarang tekanan terhadap tubuh badannya, juara 12 kali Terbuka Malaysia itu dinasihatkan supaya menarik diri daripada kejohanan itu.

Terbuka Malaysia berlangsung dari 2 hingga 7 April depan di Arena Axiata, Bukit Jalil dan menurut undian sebelum ini, Chong Wei akan berdepan pilihan kelapan dari India, K Srikanth pada pusingan pertama.

Disiarkan pada: March 19, 2019 @ 6:04pm
d