arena

Azam Giggs senyapkan pengkritik

Oleh AFP

RYAN Giggs berazam untuk menutup mulut pengkritiknya dan percaya kempen Kejohanan Eropah 2020 akan menentukan nasibnya sebagai pengurus Wales.

Wales memulakan kempen kelayakan Euro 2020 di laman sendiri berdepan Slovakia Ahad ini, dengan pengkritik masih tidak berpuas hati sepanjang 14 bulan Giggs mengendalikan pasukan sejak menggantikan Chris Coleman.

Giggs mempunyai rekod tiga kemenangan, sekali seri dan lima kali kalah daripada sembilan perlawanan kendaliannya.

Namun bekas bintang Manchester United itu pantas menyerap pemain muda ke dalam skuad senior dan kemenangan 4-1 ke atas Ireland pada aksi Liga Negara Eropah, September lalu menyaksikan Wales memperagakan aksi mengagumkan.

Wales akhirnya muncul naib juara kumpulan Liga Negara Eropah di belakang Denmark dan Giggs berkata: “Saya berada dalam tekanan tahun lalu jadi sama ada ia tempoh berbulan madu atau tidak, saya tidak pasti.

“Saya fikir saya akan dinilai menerusi perlawanan kelayakan, saya sudah tahu mengenainya ketika menerima tugas ini. Mengemudi Wales ke kejohanan utama, begitulah saya akan dinilai.”

Coleman mengemudi Wales ke separuh akhir Euro 2016, penampilan pertama negara itu pada kejohanan utama dalam tempoh 58 tahun namun tempoh enam tahun kendaliannya berakhir selepas Wales gagal layak ke Piala Dunia 2018 di Russia.

“Orang menjangkakan kami layak, ia difahami kerana apa yang kami raih pada Euro 2016,” kata Giggs menjelang aksi persahabatan menentang Trinidad & Tobago di Wrexham, awal pagi Khamis ini.

Disiarkan pada: March 19, 2019 @ 11:22pm
d