arena

Rabiot jadi 'tebusan' PSG?

Oleh AFP

Ejen Adrien Rabiot mendakwa Paris Saint-Germain menjadikan pemain tengah itu sebagai ‘tebusan’ apabila pemain itu digantung kerana mengunjungi kelab malam selepas kekalahan di tangan Manchester United pada aksi Liga Juara-Juara.

Pemain Perancis itu kini berdepan konflik dengan PSG apabila mahu meninggalkan kelab itu pada akhir musim ini sebaik kontraknya tamat.

Ejen Veronique Rabiot, yang juga ibu pemain itu, menegaskan anaknya ‘tidak melakukan apa-apa kesalahan’.

“Adrien seorang banduan, malah tebusan kepada PSG. Tidak lama lagi dia hanya akan menerima roti kering, air dan tinggal di penjara,” katanya kepada L'Equipe hari ini.

Rabiot yang digantung sehingga 27 Mac, turut menyukai video di media sosial yang menunjukkan bekas pertahanan Man United Patrice Evra meraikan kekalahan PSG.

“Kita menyalahkannya kerana keluar malam bila kita tidak mahu dia bermain,” kata Veronique.

“Ia bertentangan, malah dia tidak sepatutnya digantung.”

Selepas diketepikan dan dipaksa berlatih bersama skuad remaja, Rabiot tidak beraksi dengan PSG sejak perlawanan terakhir kumpulan Liga Juara-Juara menentang Red Star Belgrade Disember lalu.

Disiarkan pada: March 20, 2019 @ 8:21am
d