arena

Teori mengarut: Eriksen

Oleh Agensi

Christian Eriksen menafikan bahawa kesengsaraan Tottenham Hotspur berpunca daripada keengganan pengurusnya Mauricio Pochettino dan pengerusinya Daniel Levy mengukuhkan pasukan dalam tempoh setahun.

Tottenham tidak membeli sebarang pemain sejak Januari 2018 selepas tidak aktif dalam jendela perpindahan sebanyak dua kali, sesuatu yang mengecewakan peminat Spurs.

Bebannya mula dirasai Spurs yang mencabar gelaran Liga Perdana Inggeris sejak beberapa minggu kebelakangan ini, di mana skuad Pochettino hanya meraih satu mata daripada 12 mata terakhir yang ditawarkan.

Wujud andaian bahawa aksi longlai kelab utara London itu berpunca daripada keletihan, sekali gus membuatkan peminat menuding jari kepada Pochettino dan Levy kerana tidak aktif dalam pasaran perpindahan, satu teori yang dianggap Eriksen sebagai ‘mengarut’.

“Ia mengarut. Anda sudah biasa bermain terlalu banyak. Saya sendiri beraksi dalam banyak permainan selama beberapa musim berturut-turut.

“Sebaliknya, lebih pelik jika anda tidak bermain.

“Kaki dalam keadaan baik. Kami tidak bermain pada hujung minggu dan sudah lama kami tidak mempunyai perlawanan setiap tiga atau empat hari.

“Ia sesuatu yang menarik dan juga aneh. Saya sebenarnya resah kerana saya mahu bermain.”

Menjuarai Liga Juara-Juara adalah peluang terbaik Spurs untuk menjulang sesuatu musim ini.

Namun skuad Pochettino yang ketinggalan 15 mata berbanding pendahulu Liga Perdana Inggeris Liverpool, akan menentang Manchester City di tangga kedua pada aksi suku akhir kejohanan elit Eropah itu.

Disiarkan pada: March 20, 2019 @ 12:06pm
d