arena

Mirnawan optimis peluang Malaysian Tigers

Oleh Saiful Affendy Sapran

SKUAD hoki lelaki negara mempunyai peluang cerah untuk muncul juara Piala Sultan Azlan Shah buat julung kali sejak kejohanan jemputan tertua itu diperkenalkan pada 1983.

Namun bekas kapten skuad negara, Datuk Mirnawan Nawawi berkata, ia juga bergantung kepada prestasi pemain negara terutama empat muka baru yang pastinya berdepan pengalaman baru beraksi di pentas tertinggi.

Empat pemain itu yang berjaya memikat hati ketua jurulatih, Roelant Oltmans adalah Arif Syafie Ishak, Azrai Aizad Abu Kamal, Luqman Nul Hakim Shukran dan penjaga gol sedang meningkat, Zaimi Mat Deris.

“Di atas kertas sememangnya peluang untuk ke final cerah tapi ia tak semudah yang disangka mengambil kira kekuatan pemain negara.

“Harus diingat kita mempunyai empat muka baru yang masih belum tampil beraksi bersama skuad negara.

“Sebagai pemain baru sudah pasti mereka akan mengalami perasaan gemuruh dan tidak sabar untuk membuktikan sesuatu,” katanya.

Justeru, Mirnawan berharap pemain senior dapat memberi tunjuk ajar kepada muka baru.

Mirnawan berkata, India dan Jepun sudah pasti akan menjadi penghalang utama skuad negara pada kejohanan di Ipoh bermula Sabtu ini.

Selain skuad negara, India dan Jepun, tiga lagi pasukan yang bertanding adalah Korea Selatan, Kanada dan Poland yang menggantikan Afrika Selatan pada saat akhir.

Disiarkan pada: March 20, 2019 @ 9:34pm
d