arena

Penyudah tumpul kecewakan Cheng Hoe

Oleh Firdaus Hashim

HARIMAU Malaya membuka kalender 2019 dengan nota menyedihkan apabila tewas 0-1 kepada Singapura pada aksi Piala Airmarine di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

Bekas pemain PKNS FC, Faris Ramli menghadiahkan mimpi ngeri buat penyokong negara apabila jaringan tunggalnya sudah cukup untuk mencalar imej tuan rumah yang berhasrat untuk bergelar juara pada kejohanan sulung itu.

Pada aksi yang berlangsung dalam suasana suram susulan boikot Ultras Malaya, pengendali negara Tan Cheng Hoe melakukan dua pertukaran dalam kesebelasan utama berbanding skuad Piala AFF tahun lalu.

Beliau menyenaraikan Matthew Davies dan Nor Azam Azih bagi menggantikan dua tonggak muda Syahmi Safari dan Safawi Rasid yang kini bersama skuad negara bagi kelayakan Kejuaraan AFC B-23 bermula Jumaat ini.

Malaysia, naib juara Piala AFF selepas tewas kepada Vietnam pada final tahun lalu, harus meraih kemenangan bagi menempah pertemuan dengan Oman yang sebelum itu membelasah Afghanistan 5-0 pada separuh akhir pertama.

Aksi bertenaga yang diharapkan daripada skuad Harimau Malaya nyata meleset apabila pasukan jiran yang dibimbing Nazri Nasir lebih mendominasi permainan dengan hantaran pendek yang sering memerangkap benteng negara.

Tuan rumah yang sudah lapan hari ‘berkampung’ berbanding Singapura yang hanya sempat berlatih selama tiga hari, dikejutkan dengan serangan pantas menerusi percubaan penyerang berpengalaman, Khairul Amri Kamal pada minit ke-13 namun sempat dikeluarkan pertahanan negara ketika penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat sudah tertewas.

Skuad negara cuba mengimbangi corak permainan pasukan lawan dan memiliki peluang terbaik pada minit ke-15 apabila tandukan padu pertahanan Irfan Zakaria sedikit tersasar buat melegakan penjaga gol Singapura, Izwan Mahbud.

Selepas itu, tiada gerakan menarik yang mampu disajikan dengan bola banyak berlegar di tengah padang sekali gus menamatkan separuh masa pertama terikat tanpa jaringan.

Pada babak kedua, Harimau Malaya yang berada di ranking ke-167 dunia melakukan pertukaran pertama apabila mengeluarkan Norshahrul Idlan Talaha dan memasukkan Halim Saari bagi memantapkan jentera tengah.

Kemasukan pemain Selangor itu jelas membawa dimensi baru apabila tuan rumah mendominasi permainan dengan kerap melancar serangan ke kubu pelawat.

Bagaimanapun Faris meranapkan impian tuan rumah apabila dia mudah menewaskan Khairul Fahmi pada minit ke-82 sekali gus memastikan pertembungan dengan Oman pada final, Sabtu ini.

Disiarkan pada: March 20, 2019 @ 11:02pm
d