arena

'Heret Amizal ke mahkamah'

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

PEMAIN veteran Perlis, Amirizdwan Taj Tajuddin mendesak Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) supaya memfailkan saman sivil terhadap bekas presiden, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie kerana bertanggungjawab merosakkan bola sepak di negeri itu.

Menurutnya, kerosakan yang ditimbulkan oleh Ahmad Amizal tidak seharusnya dibiarkan begitu saja tanpa sebarang tindakan.

“Dia tak boleh larikan diri macam itu saja selepas apa yang berlaku selama dia memegang PFA dalam tempoh hampir empat bulan.

“Be gentleman (bertanggungjawab), tampilkan diri perjelaskan keadaan sebenar dan selesaikan apa yang sudah dimulakan.

“Jadilah manusia yang bertanggungjawab dan bukannya menghilangkan diri selepas menganiaya banyak pihak,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Mengakui dirinya masih bergelut mencari pasukan baharu untuk bermain pada musim ini, Amirizdwan mengharapkan sinar baru muncul buat dirinya bersama rakan senasib.

“Saya berharap PFA boleh memfailkan saman sivil ke atas pemimpin itu sebab pengurusan yang membawanya masuk ke dalam PFA.

“Terlalu banyak kerosakan malah dia boleh menghancurkan karier pemain selepas apa yang berlaku,” katanya.

Sebelum ini, Ahmad Amizal dilaporkan tidak boleh dikenakan sebarang tindakan oleh polis kerana kemelut yang berlaku antara dirinya bersama PFA bukanlah satu tindakan jenayah.

Bagaimanapun, pemain yang menandatangani kontrak boleh terus memfailkan saman sivil ke atasnya di mahkamah sekiranya mereka mahu kerana tindakan Ahmad Amizal itu hanya membabitkan pelanggaran kontrak antara majikan dan pekerja.

Disiarkan pada: March 21, 2019 @ 7:00am
d