arena

Tiada Bale, Woodburn pun berguna...

Oleh AFP

WALES memerlukan jaringan saat akhir daripada pemain remaja Liverpool Ben Woodburn untuk menewaskan Trinidad and Tobago 1-0 dalam perlawanan persahabatan awal pagi tadi selepas Ryan Giggs mengetepikan Gareth Bale daripada skuad tuan rumah di Wrexham.

Bale adalah antara beberapa pemain termasuk Aaron Ramsey dan David Brooks, yang digugurkan pengendali Wales Giggs beberapa hari sebelum kempen kelayakan Euro 2020 menentang Slovakia di Cardiff awal pagi Isnin.

Trinidad and Tobago menduduki ranking ke-93 dunia, 74 tangga di belakang Wales namun mereka mempamerkan aksi terpuji di Racecourse Ground di mana pengurus mereka, Dennis Lawrence, bermain untuk Wrexham.

Perlawanan terakhir di antara kedua-dua negara menyaksikan Bale menjadi pemain Wales paling muda iaitu 16 tahun, 315 hari ketika menang ke atas Trinidad di Austria dalam perlawanan persahabatan 2006.

Bale bagaimanapun tiada di bangku simpanan, di mana Giggs mahu menyimpan bintangnya untuk perlawanan awal pagi Isnin.

Trinidad hampir meledak gol awal apabila percubaan Aubrey David berjaya ditepis Chris Gunter.

Namun dua saat sebelum tamat perlawanan Woodburn menghasilkan gol tunggal apabila menyambut hantaran Will Vaulks.

“Kita semua tahu dia berbakat, dan jika dia bermain dia akan menjaringkan gol,” kata bekas bintang Manchester United mengenai Bale sebelum perlawanan itu.

“Namun pada masa sama saya juga mahu meringankan bebannya, jadi bila dia tidak bermain kami tidaklah terlalu bergantung kepada seorang pemain.”

Disiarkan pada: March 21, 2019 @ 10:06am
d