arena

Kami tak gaduh: Djokovic

Oleh Reuters

PEMAIN nombor satu dunia Novak Djokovic hari ini menafikan berselisih pendapat dengan Roger Federer dan Rafa Nadal ketika politik sukan tenis mula mencemari Terbuka Miami.

Ketegangan membabitkan tiga pemain utama tenis lelaki dunia tercetus apabila Djokovic yang juga presiden Majlis Pemain ATP menolak permintaan Federer untuk bertemunya ketika BNP Paribas di Indian Wells awal bulan ini untuk membincangkan masa depan pengerusi ATP Chris Kermode.

Biarpun berjaya membangunkan badan induk sukan itu dan meningkatkan hadiah kemenangan, Kermode disingkirkan daripada jawatannya apabila wakil pemain di Lembaga ATP enggan menyokong lanjutan kontrak beliau.

Sebagai pengarah kepada 10 ahli Majlis Pemain Djokovic mendesak perubahan manakala Federer dan Nadal menyokong Kermode atau setidak-tidaknya berpendapat isu itu perlu diperbincangkan.

“Saya lihat Roger hri ini, kami berada di majlis perasmian, memotong riben di gelanggang utama,” kata Djokovic ketika sidang media pra-perlawanan awal pagi tadi.

“Kami sempat berborak dan tiada masa untuk bercakap mengenai hal politik.

“Kami berharap dapat berbincang mengenainya kemudian.

“Adalah tidak wajar untuk anda semua mencetuskan ketegangan di antara kami. Sebaliknya, saya mempunyai hubungan yang baik dengan kedua-dua mereka.

Dengan keputusan yang dibuat ke atas Kermode, Federer berkata hari ini, dia masih mahu bersedia berbincang dengan Djokovic tidak perlu tergesa-gesa.

“Banyak perkara yang diputuskan jadi kita lihat sama ada ia akan berlaku atau tidak tetapi kami tidak mengejar antara satu sama lain. Kalau jadi, jadilah,” kata Federer.

Disiarkan pada: March 21, 2019 @ 10:26am
d