arena

Afif 'rehat' dua minggu

Oleh Asrol Awang

PERTAHANAN Pahang, Afif Amiruddin mengakui kecederaan lutut kanan yang dialami memaksanya berehat selama dua minggu dalam saingan Liga Super.

Pemain kelahiran Kelantan itu juga berkemungkinan terlepas peluang bermain sebaik liga bersambung apabila skuad Tok Gajah bertemu FELDA United FC pada 30 Mac ini.

“Kecederaan ini sudah lama dialami tetapi ia bertambah serius sebelum Pahang bertemu Kedah pada 8 Mac lalu tetapi kecederaan ini tidak memerlukan pembedahan.

“Saya hanya menjalani rawatan susulan dan tempoh pemulihan dijangka kira-kira dua minggu sebelum kembali menyertai rakan sepasukan,” katanya.

Musim lalu, Afif terpaksa berehat hampir tiga bulan kerana mengalami kecederaan paha kiri sebelum kembali beraksi dalam kempen Piala Malaysia.

Sementara itu, pengendali Tok Gajah, Dollah Salleh berkata, hanya Afif yang tidak menyertai sesi latihan kerana kecederaan selain sembilan lagi pemain yang mewakili skuad negara.

Katanya, setakat ini, semua pemain menunjukkan komitmen tinggi sepanjang latihan walaupun tidak dapat mengadakan perlawanan persahabatan kerana kekurangan pemain.

“Saya harap pemain dapat mengekalkan tahap kecergasan sebaik saingan Liga Super bersambung minggu depan,” katanya.

Disiarkan pada: March 21, 2019 @ 1:01pm
d