arena

Giroud mahu 'balik kampung'

Oleh Reuters

PENYERANG Chelsea Olivier Giroud mahu kembali ke Perancis apabila kontraknya berakhir akhir musim ini selepas kecewa kurang masa beraksi di bawah kendalian pengurus Maurizio Sarri.

Giroud tidak pernah menyertai kesebelasan utama Chelsea untuk Liga Perdana Inggeris sejak kelab itu membawa masuk penyerang Argentina Gonzalo Higuain pada Januari.

“Masa depan mungkin sibuk musim panas ini.” kata Giroud.

“Saya tidak kisah turun pangkat untuk bermain lebih banyak. Mungkin saya akan akhiri karier saya di Perancis.”

Penyerang itu yang menjuarai Piala Dunia bersama Perancis tahun lalu, menjaringkan 33 gol dalam 73 penampilan liga bersama Montpellier sebelum berpindah ke Arsenal pada 2012, dan menarik minat daripada Olympique Lyonnais, menurut laporan media Perancis.

Pemain berusia 32 tahun itu sering digunakan Sarri untuk Liga Europa dan menjadi penjaring terbanyak kejohanan itu musim ini dengan sembilan gol dalam sembilan perlawanan.

Bagaimanapun dia percaya sukar untuknya menempatkan diri dalam perancangan jurulatih Itali di Liga Perdana Inggeris.

“Hari ini saya mendapat bayangan jelas sekali tiada saingan (untuk tempat sebagai penyerang) sejak Januari.

“Saya hanya tahu yang saya akan bermain di Liga Europa,” kata Giroud.

“Saya akan lakukan apa yang termampu untuk menjadi seorang yang penting buat pasukan.”

Chelsea menduduki tangga keenam Liga Perdana Inggeris, tiga mata di bawah tangga keempat dan tiket terakhir Liga Juara-Juara yang ketika ini dimiliki Arsenal.

Skuad Sarri juga berpeluang mara ke Liga Juara-Juara musim depan dengan menjuarai Liga Europa, di mana mereka akan berdepan Slavia Prague pada suku akhir.

Disiarkan pada: March 21, 2019 @ 1:05pm
d