arena

Hazard buat Russia merana

Oleh AFP

EDEN Hazard memastikan Belgium memulakan kempen kelayakan Euro 2020 dengan penuh bergaya dengan dua jaringan untuk menewaskan Russia di laman sendiri, manakala Belanda yang dibantu Memphis Depay membelasah Belarus 4-0.

Belgium, pasukan separuh akhir Piala Dunia lalu mencatat kemenangan 3-1 ke atas Russia di Brussels apabila Hazard meledak dua gol untuk skuad kendalian Roberto Martinez memulakan kempen mereka dalam Kumpulan I.

Youri Tielemans membuka akaun jaringan dengan rembatan rendah untuk meletakkan Belgium di depan pada minit ke-14 di Stadium King Baudouin, namun Thibaut Courtois memberikan gol penyamaan Russia tidak lama kemudian.

Penjaga gol Real Madrid yang menerima asakan Artem Dzyuba, panik dan tertolak bola ke arah Denis Cheryshev yang pantas merobek gawang yang tidak dijaga.

Percubaan Michy Batshuayi pula berjaya diselamatkan dan satu lagi terkena tiang sebelum Hazard kembali meletakkan Belgium di depan sebelum tamat separuh masa menerusi penalti selepas dijatuhkan Yuri Zhirkov.

Pengatur serangan Chelsea itu memastikan tiga mata milik mereka dua minit sebelum tamat permainan manakala Aleksandr Golovin dibuang padang sebelum wisel penamat.

“Saya berseronok malam ini. Saya berdepan tekanan untuk menang dan berjaya menjaringkan gol,” kata Hazard yang juga kapten Belgium.

“Selepas perlawanan terakhir menentang Switzerland ( tewas 5-2), kami perlu bangkit di depan penyokong sendiri.”

Sementara itu Cyprus membelasah San Marino untuk menduduki tangga teratas kumpulan manakala Scotland tewas 0-3 kepada Kazakhstan yang menduduki ranking 177 dunia.

Yuriy Pertsukh dan Yan Vorogovskiy meledak gol awal buat Kazakhstan sebelum tandukan hebat Baktiyor Zainutdinov meranapkan peluang Scotland untuk bangkit.

Disiarkan pada: March 22, 2019 @ 8:23am
d