arena

Maafkan Rice, dia masih mentah...

Oleh Reuters

PANGGILAN pertama Declan Rice untuk menyertai skuad England selepas meninggalkan Ireland dibayangi tuntutan supaya pemain West Ham United itu memohon maaf kerana komennya di media sosial yang menyokong Tentera Republik Ireland (IRA).

Tidak lama selepas pengurus England Gareth Southgate mengadakan sidang media sebelum perlawanan kelayakan Euro 2020 Kumpulan A menentang Republik Czech, muncul laporan mengenai ciapan yang dibuat Rice pada 2015.

Pemain tengah berusia 20 tahun itu yang nenek moyangnya berasal dari Ireland, berkata dalam satu kenyataan bahawa mesej itu sesuatu yang diluahkan dengan buruk.

“Saya menyedari bahawa cubaan saya menyokong rakan sepasukan pada masa itu boleh disalah tafsir,” kata Rice yang membuat tiga penampilan skuad senior bersama Ireland sebelum memilih untuk menyertai England.

“Ketika kata-kata naif saya tidak bermakna satu pandangan politik dan tidak mewakili siapa diri saya, saya secara jujur meminta maaf atas sebarang kesilapan.”

Mempertahankan Rice bukan sesuatu yang dijangka Southgate menjelang perlawanan dan masalahnya makin meruncing apabila mengesahkan penyerang Manchester United Marcus Rashford diketepikan akibat kecederaan buku lali.

Rashford adalah pemain keenam yang menarik diri daripada skuad itu.

Ditanya mengenai komen Rice, Southgate berkata: “Dia meminta maaf dan ia tidak mewakili apa yang dirasai dan dipercayainya, apatah lagi ketika itu dia sedang ‘berbual’ di media sosial ketika berusia 15 tahun.”

“Saya fikir sesiapa pun di antara kita pada usia sebegitu dalam situasi itu mungkin membincangkan atau menulis perkara tertentu yang mungkin kita tidak akan lakukan beberapa tahun kemudian.”

Disiarkan pada: March 22, 2019 @ 12:45pm
d