arena

Perodua bawa 15 atlet ke Tokyo

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

SERAMAI 15 bakat muda Program Pembangunan Bakat Badminton (PPBB) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)-Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) kini berada di Tokyo untuk Pertandingan Badminton Junior Tiga Negara.

Anjuran rakan teknikal dan teknologi PERODUA, Daihatsu Motor Company Jepun, pertandingan julung kali diadakan itu menyaksikan atlet Malaysia bersaing dengan bakat muda dari Jepun dan Indonesia yang dicungkil menerusi program badminton sama di negara masing-masing.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, penyertaan dalam Pertandingan Badminton Junior Tiga-Negara akan memperkukuhkan lagi komitmen jangka panjang syarikat itu terhadap sukan badminton.

"Program ini satu daripada perancangan kami untuk memberi pendedahan awal kepada atlet muda bertanding di peringkat antarabangsa.

“Ia juga inisiatif tanggungjawab korporat kami ke arah pembangunan belia dan modal insan Malaysia,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Zainal Abidin, seramai 40 murid (15 dari Malaysia, 15 Jepun dan 10 Indonesia) berusia sembilan hingga 12 tahun akan bertanding di Stadium Nasional Ajinomoto di Tokyo pada 24 Mac ini.

"Ramai bakat muda terbabit belum pernah menjejak kaki ke luar negara sebelum ini sangat teruja diberikan peluang melawat Jepun dan berkongsi pengalaman mengenai badminton dengan kenalan baharu dari Jepun dan Indonesia.

"Terima kasih kepada Daihatsu kerana menganjurkan pertandingan ini dan KPM atas kerjasama dalam membangunkan bakat badminton Malaysia," katanya.

Pada Oktober lalu, KPM dan PERODUA menamatkan tahun pertama PPBB yang disertai 2,800 murid sekolah rendah, 140 jurulatih dan 70 pusat pembangunan badminton di seluruh Malaysia.

Di peringkat profesional pula, Perodua Malaysia Masters, satu pertandingan antarabangsa Badminton World Federation (BWF) berjaya diadakan buat kali kedua pada Januari lalu di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Disiarkan pada: March 22, 2019 @ 12:45pm
d