arena

Tok Gajah lewatkan sesi latihan petang

Oleh Asrol Awang

SKUAD Pahang memendekkan sesi latihan harian pada waktu petang berikutan cuaca panas melanda negara ini ketika ini. 

Pengendali Tok Gajah, Dollah Salleh berkata, langkah itu bagi memastikan anak buahnya berada pada prestasi terbaik dan mengelak daripada mengalami masalah kesihatan. 

"Setakat ini, sesi latihan berjalan dengan lancar dan pemain tidak menghadapi masalah kesihatan sama ada demam dan batuk kesan daripada cuaca panas. 

"Sebab itu saya lewatkan sesi latihan pada waktu petang iaitu pada jam 5.30 petang hingga 7 mlm berbanding kebiasaannya jam 5 petang berikutan cuaca panas yang melanda negara. 

"Pada masa sama, saya nasihatkan pemain untuk memastikan mereka berada pada prestasi terbaik kerana Pahang akan kembali beraksi dalam saingan Liga Super pada 30 Mac ini," katanya di Kuantan, hari ini. 

Sejak kembali menjalani latihan 15 Mac lalu, skuad Tok Gajah hanya menumpukan kepada aspek kecergasan kerana tidak dapat mengadakan aksi persahabatan sepanjang tempoh rehat liga. 

Ini kerana skuad Tok Gajah mengalami kekurangan pemain apabila sembilan pemain menyarung jersi skuad negara dan tidak termasuk pemain yang cedera. 

Mereka yang tidak menyertai latihan bersama skuad Tok Gajah ialah kapten pasukan, Matthew Davies, Mohamadou Sumareh, Norshahrul Idlan Talaha dan Nor Azam Azih yang bersama Harimau Malaya bagi mengharungi saingan Piala Airmarine 2019.  

Tiga lagi pemain ialah R Dinesh, Faisal Abdul Halim dan R Kogileswaran mewakili skuad bawah 23 (B-23) bagi pusingan kelayakan Kejuaraan Bawah B-23 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2020.  Saddil Ramdani dan Safuwan Baharudin pula masing-masing bersama skuad kebangsaan Indonesia dan Singapura.

Disiarkan pada: March 22, 2019 @ 3:36pm
d