arena

Cabaran skuad negara berkubur

Oleh Saiful Affendy Sapran

SKUAD badminton negara tiada jawapan apabila tewas 0-3 kepada juara bertahan, Jepun pada suku akhir Kejohanan Berpasukan Campuran Asia di Hong Kong hari ini.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan kempen skuad negara pada edisi kali ini berakhir.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann berharap pemain negara memperoleh pengajaran susulan daripada kekalahan itu.

“Cheam June Wei (perseorangan lelaki) dan Ho Yen Mei (perseorangan wanita) sepatutnya memenangi perlawanan mereka.

“Pemain perlu sedar apabila mempunyai peluang di depan mata mereka perlu mempunyai keyakinan diri.

“Inilah perkara asas yang perlu mereka terapkan apabila berada di kedudukan genting,” katanya ketika dihubungi.

Choong Hann merujuk kepada June Wei dan Yen Mei yang mempunyai peluang untuk memenangi perlawanan mereka tetapi akhirnya tewas.

Beregu lelaki, Goh Sze Fei- Nur Izzuddin Rumsani gagal memberikan mata pertama meskipun memberi tentangan sengit kepada Takuro Hoki-Yugo Kobayashi sebelum tewas 21-19, 16-21, 15-21 dalam tempoh 63 minit.

Yen Mei pula tewas 9-21, 23-25 di tangan Aya Ohori dalam tempoh 38 minit. June Wei yang diharap dapat merampas satu mata bagaimanapun tewas kepada Kanta Tsuneyama 21-13, 21-23, 15-21.

Disiarkan pada: March 22, 2019 @ 6:20pm
d