arena

TSG sedar perit kekal jersi kuning

Oleh Azlan Muhammad Zain

TERENGGANU Cycling Team (TSG) mengakui berdepan cabaran getir mempertahankan jersi kuning atau juara kategori individu keseluruhan pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) awal bulan depan.

Pendakian kategori hors ke Genting Highlands sah disenaraikan pada peringkat keempat perlumbaan selepas kali terakhir dipertandingkan pada 2014 dan terpaksa disisihkan susulan pembinaan taman tema di pusat pelancongan itu.

Tahun lalu TSG melakar sejarah muncul pasukan pertama negara meraih jersi kuning menerusi pelumbanya Artem Ovechkin dari Russia.

“Memang agak sukar untuk mempertahankan jersi kuning namun kami akan cuba memberikan yang terbaik. Semua pasukan pasti akan memberi fokus kepada peringkat keempat kerana ia mampu menentukan kedudukan individu dan pasukan.

“Ovechkin tidak akan mendapat laluan mudah seperti edisi 2018 kerana setiap pergerakannya pasti diawasi susulan pencapaiannya sebelum ini.

“Namun ‘beban’ tidak akan terarah kepada dia seorang kerana TSG turut menyenaraikan pemenang jersi kuning edisi 2015, Youcef Reguigui dan Drew Morey bagi tugas pendakian,” kata Ketua Pegawai Operasi TSG, Nasiruddin Wan Idrus.

Tegasnya, persediaan pasukan berjalan lancar dengan Reguigui berjaya meraih tempat ketiga Kejohanan Lumba Basikal Lebuhraya Afrika beberapa hari lalu manakala Morey bersama tiga pelumba tempatan - Amirul Fakhruddin Mazuki, Harrif Salleh dan Zamri Salleh - kini berlatih di Melbourne di bawah kendalian Jeremy Hunt.

“Saya fikir pelumba TSG tidak berdepan masalah dengan dua peringkat perlumbaan yang melebihi jarak 200km (Senawang-Melaka dan Tanjung Malim-Taiping) cuma kami perlu berwaspada dengan peringkat keempat,” katanya.

Disiarkan pada: March 22, 2019 @ 9:23pm
d