arena

Patutnya lebih banyak gol lagi...

Oleh Firdaus Hashim dan Syazwan Msar

SKUAD muda negara memulakan pemburuan tiket ke pusingan akhir Kejuaraan B-23 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dengan langkah kanan selepas menundukkan Filipina 3-0 pada aksi kelayakan Kumpulan J di Stadium Shah Alam, malam ini.

Kejayaan meraih tiga mata itu bukan saja mencerahkan peluang mereka ke pusingan akhir di Bangkok tahun depan, malah ia turut mengubati duka skuad ‘abang’ yang tewas 0-1 kepada Singapura pada Piala Airmarine di Bukit Jalil, kelmarin.

Gandingan trio ‘SAH’ di jentera serangan membabitkan Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Hadi Fayyadh Razak nyata cukup ampuh terutamanya Akhyar yang meledak dua gol pada babak pertama.

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee seharusnya menyalahkan diri sendiri apabila mensia-siakan hampir setengah dozen peluang menjaringkan gol sama ada percubaan terkena palang, tersasar mahupun terlalu lembik.

Malaysia yang membariskan kesebelasan terbaik termasuk trio ‘SAH’ tidak menunggu lama untuk merobek benteng Filipina seawal minit keempat menerusi rembatan deras Akhyar yang tidak dikawal pertahanan pelawat.

Pemain Johor Darul Ta’zim itu terus membuktikan sentuhan berbisanya apabila dia mudah menampan masuk hantaran lintang R Dinesh buat mengecewakan penjaga gol Filipina, Michael Asong kali kedua pada minit ke-31.

Hadi seharusnya mampu menambah dua gol pada awal babak kedua namun penyudah tumpul penyerang kelab Fagiano Okayama di Liga Jepun itu mengecewakan kem negara.

Bagaimanapun, kesilapan itu ditebus pemain gantian Faisal Halim yang menggantikan Akhyar apabila dia mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-82.

Susulan kemenangan itu, Malaysia kini berkongsi tiga mata dengan China untuk berada di tangga kedua selepas China memiliki kelebihan gol apabila mereka membelasah Laos 5-0 pada aksi sebelah petang.

Skuad negara akan meneruskan kempen bertemu Laos, Ahad ini manakala China menentang Filipina.

Disiarkan pada: March 22, 2019 @ 11:00pm
d