arena

MFL ada bukti!

Oleh Firdaus Hashim

DOKUMEN pernyataan tuntutan 35 muka surat yang dikemukakan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kepada mahkamah semalam mungkin mencetus masalah besar buat Telekom Malaysia (TM) selepas ia mendedahkan cubaan syarikat telekomunikasi itu untuk mengubah terma tertentu.

Berdasarkan pernyataan tuntutan itu, TM didakwa cuba mengubah perjanjian panjang bersama MFL yang ditandatangani pada 29 Januari tahun lalu dan tindakan itu jelas tidak dipersetujui badan pengendali liga bola sepak tempatan.

Pernyataan tuntutan yang diserahkan peguam MFL itu menyebut, kedua-dua pihak bersetuju dengan perjanjian penajaan selama lapan tahun dari 2018 hingga 2025 dan MFL akan menerima RM51.7 juta semusim untuk tempoh kitaran pertama 2018-2021.

Penajaan itu meningkat kepada RM68.3 juta pada kitaran kedua (2021-2025). Bagaimanapun, TM gagal melunaskan bayaran fasa pertama sebanyak RM25.8 juta pada 2 Januari lalu dengan fasa kedua pula menyusul pada 2 Jun depan.

Faktor itu mungkin menjadi punca keretakan hubungan TM-MFL dan syarikat telekomunikasi itu selaku defendan, berniat memasukkan terma baru yang radikal ke dalam perjanjian ‘long-form’ yang tidak konsisten dengan terma semasa peringkat rundingan.

Menurut sumber, defendan bercadang untuk menambah klausa penamatan tanpa sebab yang membenarkan mereka menamatkan perjanjian ‘long-form’ tanpa memberikan sebab dan tanpa penalti sedangkan kedua-dua pihak sudah melahirkan komitmen untuk perkongsian sepanjang lapan tahun.

“Plaintif (MFL) menegaskan terma ini tidak boleh dilaksanakan kerana ia akan membenarkan defendan melepaskan diri tanpa dikenakan penalti. Tambahan pula, mustahil bagi plaintif untuk menggantikan penaja rasmi dalam notis singkat,” katanya.

Sementara itu, sumber sama berkata, dakwaan TM yang menyatakan kegagalan kerjasama itu berpunca daripada pelanggaran aspek komersial tidak benar dan ia sengaja direka-reka bagi menuding jari ke arah MFL.

“Malah, dakwaan mengatakan kontrak sudah dibatalkan pada 1 November lalu juga salah kerana berdasarkan perjanjian long-form ia tetap sah hingga 2025 seperti yang terkandung dalam perjanjian awal,” katanya.

Semalam, ‘perbalahan’ MFL dan TM tiba di kemuncaknya apabila badan pengendali liga bola sepak negara itu memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas alasan syarikat telekomunikasi itu melanggar kontrak penajaan.

Disiarkan pada: March 23, 2019 @ 12:59am
d