arena

Hormati kehendak pemain

Oleh Syazwan Msar

HANYA kemenangan ke atas Afghanistan akan memberikan sedikit kelegaan seterusnya mengubat kemarahan penyokong Harimau Malaya yang sebelum ini memboikot aksi pembukaan Piala Airmarine menentang Singapura.

Penggempur kebangsaan, Muhamadou Sumareh berkata, peminat sukan nombor satu negara itu hanya mahukan kemenangan daripada Harimau Malaya dan justeru, dia pantas menuntut semua pemain beraksi dengan lebih baik.

Katanya, pemain harus menghormati kehendak penyokong yang mahukan skuad kebangsaan memberikan persembahan terbaik, sekali gus membuktikan kehadiran mereka ke stadium berbaloi.

“Semua peminat inginkan pasukan yang disokong atau diminati memenangi perlawanan dan kehendak mereka itu harus dihormati dan berusaha untuk bermain lebih baik.

“Oleh itu, saya meminta rakan mempamer aksi terbaik pada perlawanan terakhir esok (hari ini) ke atas Afghanistan seterusnya mengelak berada di kedudukan tercorot,” katanya, semalam.

Sebelum itu, impian skuad senior untuk meraih kejuaraan Piala Airmarine ranap apabila tewas kepada Singapura 0-1 menerusi jaringan tunggal Faris Ramli.

Pasukan negara yang beraksi di Stadium Bukit Jalil hanya mendapat sokongan kira-kira 3,000 penyokong saja, sekali gus menyebabkan anak buah Cheng Hoe seakan tempang.

Malaysia akan beraksi menentang Afghanistan yang sebelum itu tewas kepada Oman untuk penentuan tempat ketiga dan keempat.

Disiarkan pada: March 23, 2019 @ 7:00am
d