arena

Oman juara Piala Airmarine

Oleh Syazwan Msar

OMAN juara sulung Piala Airmarine 2019 selepas menewaskan Singapura menerusi penentuan sepakan penalti 5-4 selepas terikat 1-1 dalam 90 minit di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam ini.

Pujian harus diberikan kepada skuad kendalian Nazri Nasir apabila memberi tentangan sengit kepada Oman yang dilihat mempunyai kelebihan menjuarai piala itu.

Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan mengamalkan corak permainan berhati-hati sekali gus kurang serangan berbahaya ke kubu lawan.

Oman yang lebih gemar melakukan serangan balas akhirnya menghukum kealpaan benteng skuad kendalian Nazri menerusi gol tandukan Aziz Humaid Mubarak m-21.

Babak kedua bersambung menyaksikan Singapura mula bermain secara lebih agresif dengan melakukan serangan. Singapura hampir menyamakan kedudukan menerusi Nazrul Ahmad pada m-70 namun lambat melakukan tendangan ke pintu gol sebelum disambar pertahanan lawan.

Ketika Oman mula meraikan kemenangan, pasukan Singapura menyumbat gol penyamaan menerusi sepakan percuma pemain gantian Zulhalmi Ariffin pada masa kecederaan separuh masa kedua.

Gol penyamaan itu mengheret kedua-dua pasukan penentuan sepakan penalti namun hanya Muhammad Faris Ramli gagal menyempurnakannya sekali gus memberi kelebihan kepada Oman untuk bergelar juara dengan kemenangan 5-4.

Disiarkan pada: March 23, 2019 @ 11:07pm
d