arena

Hendrik penyelamat maruah Ireland

Oleh AFP

MICK McCarthy yang mengendalikan skuad Republik Ireland buat kali kedua mencipta permulaan kurang meyakinkan selepas hanya mampu menewaskan skuad kerdil Gibraltar di Stadium Victoria dalam aksi kelayakan Euro 2020, awal pagi tadi.

McCarthy, 60, yang mengetuai kejayaan Ireland mara ke saingan 16 terakhir Piala Dunia 2002 sebelum meletak jawatan tahun lalu dilantik sebagai pengurus menggantikan Martin O'Neill.

Kemenangan tipis di tempat lawan itu meletakkan Ireland di belakang Switzerland dalam Kumpulan D yang menewaskan Georgia 2-0 tetapi McCarthy tahu banyak kerja perlu dilakukan selepas melihat anak buahnya bergelut meraih kemenangan kedua mereka dalam 12 perlawanan.

Pasukan pelawat gagal mengatasi kekentalan benteng Gibraltar pada babak pertama walaupun menguasai perlawanan dengan pertahanan Wolves, Matt Doherty bertindak di bahagian tengah bergandingan dengan kapten Seamus Coleman.

Gibraltar yang menduduki ranking ke-194 dunia hampir menceriakan penyokong mereka sejurus babak kedua bermula namun tandukan kapten, Roy Chipolina diselamatkan dengan cemerlang penjaga gol pelawat, Darren Randolph.

Ireland mendaului perlawanan dua minit kemudian menerusi rembatan pemain tengah Burnley, Jeff Hendrick selepas menerima hantaran David McGoldrick daripada sebelah kiri.

Gibraltar tidak berputus asa dan hampir menyamakan kedudukan tetapi percubaan pemain berusia 37 tahun, Lee Casciaro tersasar.

Ireland telepas peluang melebarkan kedudukan pada lewat permainan namun tandukan pertahanan tengah Brighton, Shane Duffy tersasar.

Sementara itu, Sweden menewaskan Romania 2-1 dalam perlawanan Kumpulan F hasil jaringan Robin Quaison dan Viktor Claesson.

Disiarkan pada: March 24, 2019 @ 9:16am
d