arena

Federer berpeluh atasi Albot

Oleh AFP

ROGER Federer bangkit daripada ketinggalan satu set sebelum menewaskan pemain ranking ke-46 dunia dari Moldova, Radu Albot 4-6, 7-5, 6-3 dan mara ke pusingan ketiga Terbuka Miami hari ini.

Albot terlebih dahulu menguasai perlawanan dan kerap mendatangkan masalah kepada juara 20 kali Grand Slam itu sementara Federer tampak bergelut menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu di Stadium Hard Rock.

Tetapi pengalaman dan kelas tersendiri membolehkan bintang Switzerland itu mara ke saingan 32 terakhir menentang pemain Serbia, Filip Krajinovic yang mengejutkan juara tiga kali Grand Slam Stan Wawrinka 5-7, 6-2, 7-6 (7/5).

"Saya fikir Radu beraksi dengan sangat baik, memang sukar dan saya terpaksa bekerja keras sebelum menang,” akui Federer yang juga juara tiga kali Tebuka Miami.

"Saya sangat lega dan gembira dapat mara. Suasana di sini sangat hebat.”

Dalam perlawanan lain, pemain Afrika Selatan Kevin Anderson yang kembali beraksi mencapai kemenangan ke atas pemain meningkat naik dari Sepanyol, Jaume Munar 6-4, 3-6, 6-3.

Selepas lebih dua bulan berehat akibat kecederaan siku, pemain nombor tujuh dunia itu meledak 17 ace mengatasi cabaran Munar yang berusia 21 tahun.

Kejohanan itu yang pertama bagi Anderson sejak menyertai Terbuka Australia pada Januari lalu dan gembira dengan permainannya.

Dua pemain muda Russia, Karen Khachanov dan Daniil Medvedev turut mara ke pusingan seterusnya dengan menewaskan lawan masing-masing. Pilihan ke-10 Khachanov menewaskan pemain Australian, Jordan Thompson 6-2, 6-3 sementara pilihan ke-13 Medvedev mengatasi cabaran pemain Perancis, Adrian Mannarino 6-2, 6-1.

Disiarkan pada: March 24, 2019 @ 10:33am
d