arena

Hsieh balas dendam, Naomi tersingkir

Oleh AFP

NAOMI Osaka tersingkir di pusingan ketiga Terbuka Miami WTA dan ATP selepas tewas kepada pemain Taiwan, Hsieh Su-Wei 4-6, 7-6 (7/4), 6-3, awal pagi tadi.

Pemain nombor satu dunia itu tampak mampu mengulangi kemenangan ke atas pemain Taiwan itu selepas menang set pertama dan menguasai permainan pada awal set kedua.

Tetapi Hsieh yang tewas kepada bintang Jepun itu di Terbuka Australia kembali temui rentak dan bangkit mempamerkan permainan lebih kemas.

"Kemenangan penuh emosi bagi saya,” kata Hsieh yang melakukan 39 ‘winners’, kurang satu daripada lawannya. Kedua-dua pemain meraih 69% mata daripada servis pertama mereka. “Menewaskan pemain berada di atas ranking anda adalah pencapaian yang hebat.”

"Dia mempunyai cukup pengalaman untuk kekal bertenaga dan anda dapat melihatnya,” kata jurulatih dari Perancis, Frederic Aniere yang bekerja dengan Hsieh selama dua tahun yang juga teman lelakinya.

"Dia sangat gembira sebelum perlawanan kerana dia yakin boleh menewaskan Naomi. Jadi bukanlah mengejutkan dia berjaya melakukannya.”

Naomi pula tidak puas hati dengan prestasinya.

"Sudah tentu saya mahu menang setiap perlawanan. Saya tidak memandang rendah Hsieh, mungkin saya yang terlalu yakin dalam perlawanan ini,” katanya.

Hsieh akan menentang Caroline Wozniacki di pusingan keempat dengan peluang menjulang trofi tampak cerah buat semua pemain dengan kekalahan Naomi dan penarikan diri bekas pemain nombor satu dunia, Serena Williams akibat kecederaan lutut kiri.

Disiarkan pada: March 24, 2019 @ 11:41am
d