arena

Malaysian Tigers elak insiden Jakarta 2018

Oleh Jugjet Singh

SKUAD hoki negara akhirnya tampil dengan kekuatan lengkap pada kejohanan Piala Sultan Azlan Shah untuk menumpaskan pemenang pingat emas Sukan Asia, Jepun 4-3 di Ipoh malam ini.

Bagaimanapun, skrip hampir sama ketika Sukan Asia di Jakarta, yang mana Jepun bangkit daripada ketinggalan 1-5, sebelum menyamakan kedudukan dan memenangi penentuan penalti 3-1.

Kali ini pemain negara dilihat lebih bersedia dan menghalang Jepun daripada melakar kemenangan.

Faizal Saari tidak menunggu lama untuk meletakkan Malaysia di depan apabila menjaringkan gol padang seawal minit ketiga sebelum Nik Aiman Rozemi menggandakan jaringan empat minit kemudian.

Jepun merapatkan jurang menerusi gol padang Kazuma Murata minit ke-17 tetapi Faizal meledak gol ketiga negara pada minit ke-25.

Selepas itu Jepun dilihat berusaha keras untuk mencari gol dan usaha mereka berhasil apabila Kota Watanabe menjaringkan gol kedua pada minit ke-37.

Razie Rahim melebarkan jurang apabila menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-53.

Ketika penyokong Malaysia masih lagi meraikan gol itu kedudukan berubah kepada 4-3 apabila Jepun memperoleh jaringan melalui Koji Yamasaki seminit kemudian.

“Apa yang baiknya mengenai perlawanan ini anak buah saya tidak terlalu gemuruh ketika mereka melepaskan gol.

“Kami sedar Jepun akan memberi tentangan sengit dan kami berjaya menyerap tekanan,” kata jurulatih negara, Roelant Oltmans.

Disiarkan pada: March 24, 2019 @ 11:27pm
d