arena

Hungary malukan Croatia

Oleh Reuters

PEMAIN tengah Hungary, Mate Patkai menjaringkan gol pertama antarabangsa untuk membantu pasukannya bangkit menewaskan skuad naib juara Piala Dunia, Croatia, 2-1 dalam saingan Kumpulan E kelayakan Euro 2020, awal pagi ini.

Keputusan itu menyaksikan saingan kumpulan berkenaan terbuka luas selepas Wales menewaskan Slovakia 1-0 di Cardiff malam tadi.

Slovakia, Wales, Hungary dan Croatia masing-masing mempunyai tiga mata manakala Azerbaijan tidak memperolehi sebarang mata, begitupun seperti Wales dan Azerbaijan hanya bermain satu perlawanan berbanding dua perlawanan bagi pasukan lain.

Croatia yang mencatat kemenangan 2-1 ke atas Azerbaijan Khamis lalu, mendahului menerusi jaringan Ante Rebic yang menerima umpanan Andrej Kramaric pada minit ke-16 permainan.

Bagaimanapun, Hungary yang beraksi di gelanggang sendiri Groupama Arena bangkit menyamakan kedudukan menerusi penyerangnya Adam Szalai yang memanfaatkan hantaran Balazs Dzsudzsak minit ke-34.

Kapten Dzsudzsak, yang meraikan penampilan ke 100 di peringkat antarabangsa turut beraksi cemerlang dan tonggak pasukan itu dihadiahkan dengan jaringan kemenangan oleh Mate Patkai minit ke-76 selepas pemain Croatia gagal mengeluarkan bola daripada sepakan sudut.

Disiarkan pada: March 25, 2019 @ 10:12am
d