arena

Jin Young ungguli Piala Founders

Oleh AFP

PEMAIN Korea Selatan, Ko Jin Young mencatat tujuh birdie termasuk tiga secara berturut-turut untuk membolehkannya memenangi gelaran ketiga LPGA dengan menjuarai Piala Founders di Phoenix, Arizona, awal pagi ini.

Jin Young memulakan aksi pusingan keempat di kedudukan keempat di belakang pendahulu, Liu Yu dari China, namun dia mencatat tujuh di bawah par 65 tanpa bogey di Kelab Golf Wildfire membolehkan dia merekodkan keseluruhan 22 di bawah par 266, sekali gus mengatasi Liu Yu dengan kelebihan satu pukulan.

Liu Yu turut berkongsi kedudukan kedua bersama pemain Sepanyol, Carlotta Ciganda selain gandingan adik beradik dari Amerika Syarikat (AS), Jessica dan Nelly Korda.

Jin Young yang memintas kedudukan pendahulu hasil birdie di lubang 14, 15 dan 16 sudah memanaskan badan sebagai persiapan untuk beraksi dalam pusingan playoff dengan Liu Yu yang tiba di lubang ke-72 dengan catatan 22 di bawah par.

Namun, dia melakukan bogey sekali gus mencatat dua di bawah par 70 untuk keseluruhan 21 di bawah par 267.

"Saya tidak perlu berlatih lagi," kata Jin Young kepada peminat yang mengucapkan tahniah kepadanya sebaik mengesahkan kejuaraan.

“Saya tidak fikir mengenai kemenangan hari ini,” katanya. “Saya perlu fokus kepada permainan saya.

“Saya hanya cuba (bermain) satu demi satu pukulan dan tidak memikirkan apa yang bakal berlaku seperti yang saya alami sekarang.

“Jadi, ia hari yang menakjubkan." kata Jin Young yang memperolehi gelaran pertama di Amerika Syarikat selepas menjuarai saingan Kejuaraan KEB Hana Bank 2017 di Korea dan Terbuka Wanita Australia 2018.

Disiarkan pada: March 25, 2019 @ 12:33pm
d