arena

Elavarasan pengendali baharu The Cops

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

JURULATIH berpengalaman, E Elavarasan sah mengambil alih tugas pengendali baharu skuad 'The Cops' menggantikan Fauzi Pilus susulan prestasi buruk pasukan itu yang kini menghuni tangga tercorot Liga Perdana daripada 11 pasukan.

Perlantikannya disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun merangkap Penaung Persatuan Bolasepak Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Majlis Pertemuan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin Dengan Pasukan Bolasepak PDRM di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Jalan Semarak, Kuala Lumpur, hari ini.

Ketika ditemui, Elavarasan, 54, enggan dilabel sebagai 'penyelamat' sebaliknya bertekad membalas kepercayaan itu dengan memastikan kemenangan bertemu Sarawak dalam saingan Piala FA di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 2 April depan.

Menyedari tugas getir untuk mengembalikan momentum kemenangan anak buahnya, beliau tetap yakin selepas mula melatih pasukan sejak seminggu lalu.

"Pertembungan dengan Sarawak menjadi perlawanan pertama saya dan berharap pasukan mampu menang untuk mengembalikan semangat pasukan.

"Tumpuan adalah memperkemas bahagian pertahanan dan serangan yang dibocori 10 gol dan hanya menghasilkan tiga gol menerusi enam perlawanan," katanya.

Bekas pengendali Terengganu, PKNS dan FELDA itu berkata, tiada rombakan besar-besaran dilakukan dalam skuad itu dan beliau terpaksa bergantung kepada pemain sedia ada termasuk pemain penggempur import, Patrick Ronaldinho.

"Saya lihat dia belum capai tahap permainan terbaiknya setakat ini," katanya.

PDRM sebelum ini menjadi pasukan pertama Liga Malaysia yang merehatkan jurulatih apabila Fauzi direhatkan selepas kekalahan kepada pendatang baharu, Selangor United pada 23 Februari lalu.

Skuad ‘The Cops’ mengumpul satu mata, hasil seri 1-1 menentang Negeri Sembilan dan lima kekalahan termasuk perlawanan pertama kepada UiTM FC, 1-3, tewas 1-0 kepada Pulau Pinang, Selangor United dan UKM FC serta dibenam 3-1 oleh Sabah.

Disiarkan pada: March 25, 2019 @ 8:28pm
d