arena

Tiada siapa boleh tinggalkan Chelsea

Oleh Reuters

PEMAIN Chelsea yang mahu berpindah dari Stamford Bridge tahun ini mungkin kecewa ketika pemain pertahanan Andreas Christensen menyatakan dia diberitahu kelab itu akan mengekalkan keseluruhan skuad tatkala mereka merayu terhadap larangan perpindahan pemain.

Chelsea dikenakan penggantungan setahun daripada urusan perpindahan pemain oleh FIFA bulan lalu dan didenda 600,000 Swiss Francs (RM2.46 juta) selepas mereka didapati bersalah melanggar peraturan mengambil pemain luar negara berusia di bawah 18 tahun.

Kelab itu sudah merayu terhadap keputusan itu namun menyatakan mereka “hairan” apabila badan induk menafikan permintaan mereka membekukan larangan itu ketika rayuan berlangsung.

Christensen, yang hanya memulakan aksi Liga Perdana tiga kali musim ini, dikaitkan dengan perpindahan ke Bayern Munich dan Barcelona namun pemain Denmark itu mungkin terpaksa kekal di London.

“Mesej yang kami terima Chelsea tidak boleh membuat rayuan kes ini dan mahu mengekalkan semua pemain,” kata pemain berusia 22 tahun itu kepada akhbar Denmark, Ekstra Bladet.

“Situasi yang saya alami kini terlalu sukar untuk diterima.”

Larangan terhadap Chelsea itu turut merumitkan masa depan Eden Hazard, yang menyatakan tahun lalu menjadi impiannya untuk bermain dengan Real Madrid.

Media Britain sejak itu melaporkan rundingan mengenai sambungan kontrak sudah ditangguh.

Disiarkan pada: March 25, 2019 @ 11:47pm
d