arena

Ramuan Cheng Hoe

Oleh Syazwan Msar

KUALA LUMPUR: Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe akan menggunakan tiga kombinasi penting membabitkan pemain sedia ada, naturalisasi dan skuad Bawah 23 (B-23) negara bagi merencanakan pasukan kebangsaan untuk menggalas cabaran pusingan kelayakan Piala Dunia pada Jun nanti.

Tanpa mahu menoleh kebelakangan lagi, Cheng Hoe optimis pemain yang beraksi di kejohanan Piala Airmarine 2019 menunjukkan semangat juang tinggi dengan rata-rata mereka boleh dibentuk bagi memantapkan lagi skuad kebangsaan.

Katanya, kekurangan yang terdapat dalam pasukan kebangsaan sekarang terutama membabitkan jentera serangan boleh diperbaiki dengan kehadiran pemain naturalisasi dan skuad B-23.

“Setiap pemain perlu diberikan ruang dan peluang yang secukupnya untuk bermain dan mereka (skuad Harimau Malaya) begitu bagus sekali gus ada antaranya akan terus diserapkan bagi perlawanan akan datang.

“Pemain naturalisasi penting untuk jangka pendek kerana kehadiran mereka boleh membantu untuk menjayakan perancangan pasukan,” katanya, di sini.

Sebelum itu, skuad kendalian Cheng Hoe dilihat kurang menjadi apabila sekadar berpuas hati di tempat ketiga dalam kejohanan Piala Airmarine 2019.

Kejohanan terbabit yang kali pertama diperkenalkan pada tahun ini disertai oleh Afghanistan, Singapura dan Oman yang dinobatkan sebagai juara.

Jelas sekali ketiadaan skuad B-23 dan tiada bantuan daripada pemain naturalisasi menyebabkan skuad Harimau Malaya seolah tempang apabila dimalukan oleh pasukan jiran, Singapura 0-1.

Beliau berkata, fokus skuad Harimau Malaya untuk menghadapi pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 pada Jun depan sekali gus menuntut setiap pemain yang bakal dipanggil lebih bersedia.

“Ada ramai muka baharu yang dilihat mempamerkan persembahan memuaskan terutama ketika menentang Afghanistan dan itu perkembangan positif dalam membentuk skuad kebangsaan yang lebih mantap,” katanya.

Selain itu, walaupun mengakui kehadiran pemain naturalisasi dapat membantu pasukan, Cheng Hoe tidak mahu terlalu bergantung kepada mereka.

“Saya tidak mahu terlalu mengharapkan pemain naturalisasi, namun kehadiran mereka boleh menguatkan jentera serangan namun untuk jangka panjang, berharap posisi itu boleh diisi oleh pemain tempatan,” katanya.

Disiarkan pada: March 26, 2019 @ 6:00am
d