arena

Les Bleus gah bedal Iceland

Oleh Reuters

OLIVIER Giroud sekali lagi membuktikan kemampuan dengan menjaringkan gol antarabangsa ke-35 ketika juara dunia, Perancis membelasah Iceland 4-0 di tempat sendiri dalam aksi kedua kelayakan Euro 2020, awal pagi tadi.

Giroud yang kini muncul penjaring Perancis ketiga terbanyak sepanjang zaman menjaringkan gol kedua pada babak kedua perlawanan selepas Samuel Umtiti membuka tirai jaringan menerusi tandukan. Kylian Mbappe dan Antoine Griezmann melengkapkan permulaan sempurna Perancis yang meraih enam mata dalam Kumpulan H.

Turki yang menentang Les Bleus pada Jun depan menjadi pesaing utama dalam kumpulan selepas membelasah Moldova 4-0 hasil dua jaringan Cenk Tosun. Sebelum itu mereka menewaskan Albania 2-0 di tempat lawan dan Perancis menewaskan Moldova 4-1 pada Jumaat lalu.

Albania meraih tiga mata selepas mengatasi cabaran Andorra 3-0 di tempat lawan.

"Kami sangat efektif menentang pasukan yang lebih banyak bertahan. Satu kepuasan dapat mengatasi mereka,” kata jurulatih Perancis, Didier Deschamps.

Iceland yang hanya menang satu daripada 17 perlawanan terakhir mereka cuba beraksi lebih agresif tapi tidak cukup untuk menyaingi kepantasan Les Bleus.

"Kami tahu sukar menentang mereka dan gol pertama menjadikan kami lebih sukar,” kata jurulatih Iceland, Erik Hamren. "Apabila mereka menjaringkan gol kedua, kami lebih tertekan. Mereka jelas dalam kelas berbeza.”

Deschamps membariskan kesebelasan sama ketika menentang Moldova dan mencipta permulaan cemerlang apabila pertahanan tengah Umtiti menanduk masuk gol pendahuluan selepas mendapat hantaran Mbappe pada minit ke-12.

Tandukan kencang Giroud, rembatan Mbappe dan percubaan jarak jauh Benjamin Pavard hampir menembusi gawan lawan sebelum rehat tetapi Iceland tetap membuatkan penyokong tuan rumah tak senang duduk.

Penjaga gol Perancis Hugo Lloris menyelamatkan percubaan Birkir Bjarnasson empat minit selepas rehat tetapi Giroud kembali meletakkan Perancis mendominasi perlawanan apabila dia mudah menampan bola masuk selepas mendapat hantaran daripada sebelah kanan Pavard pada minit ke-68.

Dia kini mengatasi David Trezeguet dengan kelebihan satu gol. Hanya Thierry Henry (51)dan Michel Platini (41) yang menjaringkan lebih gol untuk Perancis berbanding Giroud yang meraih kap ke-89.

Perancis menambah gol ketiga menerusi Mbappe menerusi rembatan kaki kanan menewaskan penjaga gol Hannes Halldorsson pada minit ke-78 untuk gol ke-12nya daripada 30 perlawanan.

Griezmann menambah derita Iceland selepas bijak melepaskan diri daripada kawalan pertahanan lawan dan menolak bola masuk dari jarak dekat enam minit sebelum tamat perlawanan.

Disiarkan pada: March 26, 2019 @ 8:42am
d