arena

England mahu lapor UEFA isu ejekan perkauman

Oleh Reuters

KEMENANGAN besar 5-1 England menewaskan Montenegro dalam aksi kelayakan Euro 2020 awal pagi tadi dicemari ejekan berbaur perkauman ke atas beberapa pemain mereka.

Menurut BBC, pertahanan Danny Rose menjadi sasaran ejekan perkauman pada babak pertama dan Raheem Sterling yang menjaringkan gol kelima England turut menerima nasib sama.

"Saya mendengar ejekan ke atas Danny ketika dia menerima kad kuning pada penghujung perlawanan,” kata pengurus England, Gareth Southgate yang menyenaraikan pemain muda Chelsea, Callum Hudson-Odoi dalam kesebelasan utama. Hudson-Odoi turut mendakwa mendengar ejekan itu.

"Tiada keraguan ia berlaku dan kami akan membuat laporan kepada UEFA. Perkara ini tidak boleh diterima,” kata Southgate.

Menurut Southgate dia belum berpeluang bercakap dengan Sterling yang meraikan jaringan dengan menekup telinganya di hadapan penyokong Montenegro.

Sterling dalam Twitter berkata: "Jalan terbaik ialah membuatkan mereka diam...maksud saya perkauman."

Southgate yang skuadnya menjaringkan 10 gol dalam dua perlawanan berkata, “Saya tahu apa yang saya dengar. Kami akan menguruskannya mengikut cara yang betul dan kami memberi sokongan padu kepada pemain.

“Keunikan dalam bola sepak ialah dalam bilik persalinan. Kami bersatu tanpa mengira agama, warna kulit tetapi amat mengecewakan isu ini masih lagi terjadi di luar sana.”

Disiarkan pada: March 26, 2019 @ 12:25pm
d