arena

Pendaftaran AAM batal angkara gagal patuhi akta

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

PESURUHJAYA Sukan Malaysia (PJS) mengambil tindakan membatalkan pendaftaran Persatuan Automobil Malaysia (AAM) sebagai badan sukan bermotor pada 30 November tahun lalu kerana kegagalan mematuhi Akta Pembangunan Sukan 1997.

Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman berkata, tindakan itu terpaksa dilakukan kerana AAM enggan berkerjasama walaupun selepas beberapa kali diberi surat peringatan dan tunjuk sebab.

"Antara kesalahan yang dikenalpasti membawa kepada pembatalan itu ialah tidak mengemukakan Maklumat Yang Kena Diberi (MYKB) mengandungi dokumen seperti minit Mesyuarat Agung, senarai ahli jawatankuasa, penyata kewangan tahunan yang diaudit, laporan aktiviti tahunan dan senarai keahlian yang gagal dihantar sejak 2016.

"Justeru, PJS memutuskan AAM bukan lagi entiti yang patut dan wajar didaftarkan untuk mewakili sukan bermotor di Malaysia sebagaimana dinyatakan dalam seksyen 20 Akta Pembangunan Sukan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tegas beliau, berikutan itu AAM tidak boleh menganjurkan, menjalankan, membenarkan atau menyertai apa-apa aktiviti, termasuk pertandingan, acara atau forum yang sedang berlangsung bagi mana-mana sukan sama ada di dalam atau di luar Malaysia.

"AAM sudah membuat rayuan kepada Menteri Belia dan Sukan selaras dengan seksyen 21 akta, namun ditolak.

"Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dan Persekutuan Permotoran Antarabangsa (FIM) juga sudah mengambil maklum pembatalan AAM sebagai badan sukan bermotor Malaysia melalui surat bertarikh 8 Mac lalu.

"Sehubungan itu, peranan sebagai badan pengelola sukan bermotor Malaysia akan diuruskan oleh satu badan sukan baharu yang akan dimaklumkan kemudian," katanya.

Zaiton turut menasihati mana-mana pihak tidak berurusan dengan AAM sehingga badan pengelola baharu dimuktamadkan.

Disiarkan pada: March 26, 2019 @ 12:43pm
d