arena

Malang berterusan buat Jepun, Poland

Oleh BERNAMA

JUARA Sukan Asia lalu, Jepun masih gagal melakar sebarang kemenangan dalam Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-28 apabila tewas 1-2 kepada Kanada dalam perlawanan ketiga hari ini.

Pujian harus diberikan kepada penjaga gawang Kanada, Antoni Kindler yang dinobat sebagai pemain terbaik perlawanan apabila menghalang Jepun mencuri sekurang-kurangnya satu mata di Stadium Azlan Shah, Ipoh.

Seawal minit ke-10, Balraj Panesar meletakkan Kanada yang berstatus pasukan ke-10 terbaik dunia di hadapan menerusi gol padang, namun kegembiraan itu tidak lama apabila Ryosei Kato menyamakan kedudukan seminit kemudian juga menerusi gol padang.

Bersambung babak kedua, Jepun yang berada di ranking ke-18 dunia terdesak untuk menyamakan kedudukan dengan melipatgandakan asakan namun pada minit ke-41 James Kirkpatrick bijak mencuri peluang menjaringkan gol kemenangan buat Kanada menerusi gol padang.

Dengan kemenangan itu, Kanada berjaya mengumpul enam mata selepas tiga perlawanan manakala Jepun masih belum memperoleh sebarang mata.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan Poland turut menerima nasib sama seperti Jepun yang belum memperoleh sebarang kemenangan apabila tewas tipis 2-3 kepada Korea Selatan.

Jung Manjae menjadi pemusnah Poland apabila menjaringkan gol kemenangan buat pasukannya 20 saat sebelum wisel penamat dibunyikan.

Sangkaan awal bahawa Poland berpeluang memenangi perlawanan hari ini meleset apabila benteng pertahanan gagal mengekang serang bertali arus pasukan lawan terutamanya pada 10 minit terakhir.

Pasukan bimbingan Karol Sniezek mempunyai kelebihan apabila Joseph Hillyer menjaringkan gol pertama Poland dua minit sebelum separuh masa pertama tamat.

Namun, apabila Lee Namyong berpeluang menyamakan kedudukan pada minit ke-40, kapten pasukan itu tidak mensia-siakannya dan pukulan deras Lee gagal dihalang Mateusz Popiolkowski.

Poland sekali lagi berada di hadapan menerusi Jacek Kurowski pada minit ke-50 menerusi gol padang, namun dua jaringan Jung Manjae pada minit ke-56 dan 60 hasil gol padang melenyapkan peluang Poland mengutip sekurang-kurangnya satu mata.

Disiarkan pada: March 26, 2019 @ 10:11pm
d