arena

Rentak cemerlang Malaysia disekat India

Oleh Farah Suhaidah Othman

RENTAK cemerlang skuad hoki negara dalam dua perlawanan tersekat apabila tewas 2-4 kepada India dalam aksi Piala Sultan Azlan Shah edisi ke 28, di Ipoh, malam ini.

India berjaya memperolehi gol pertama pada minit ke-17 apabila percubaan Hardik Singh disudahkan oleh Sumit menerjah ke kiri gawang Malaysia.

Pasukan India kemudian memperoleh lima pukulan sudut penalti berturut-turut tapi gagal disempurnakan oleh Amit Rohidas.

Malaysia pula memperoleh tiga pukulan sudut penalti berturut-turut dan hasilnya berjaya memperoleh gol penyamaan pada minit ke-21 menerusi Tengku Ahmad Tajuddin pada pukulan sudut penalti kali ketiga.

India bagaimanapun kelihatan lebih banyak mengasak dan tidak menunggu lama untuk kembali mengatasi Malaysia apabila Sumit Kumar mudah menolak masuk bola hantaran Sumit dari sebelah kanan, enam minit kemudian.

Malaysia pula memperolehi pukulan sudut penalti kelima pada minit ke-30 namun gagal disempurnakan dengan kemas oleh Faizal Saari.

Pasukan India terus beraksi garang sehingga berjaya memperoleh pukulan sudut penalti tiga kali berturut-turut, hasilnya pada minit-36, Varun Kumar berjaya menambah gol ketiga pasukan berkenaan.

Malaysia berjaya merapatkan kedudukan menerusi jaringan sendiri oleh Gurinder Singh yang tertampan percubaan Firhan Ashari pada minit ke-38.

Bagaimanapun, India berjaya memperoleh gol keempat menerusi Mandeep Singh yang menyudahkan hantaran lintang Sumit Kumar menerusi satu serangan balas padam minit ke-58.

Skuad kendalian Roelant Oltmans akan bertemu pendahulu kejohanan, Korea Selatan, malam esok, pasukan yang belum lagi tewas pada edisi kali ini.

Disiarkan pada: March 26, 2019 @ 10:48pm
d