arena

Sekadar seri

Oleh Ferzalfie Fauzi

HASRAT skuad bola sepak bawah 23 tahun (B23) negara untuk mencatat kemenangan seterusnya layak secara automatik ke Kejohanan AFC B-23 di Bangkok 2020 tidak kesampaian apabila sekadar seri 2-2 pada aksi terakhir Kumpulan J di Stadium Shah Alam, malam ini.

Malaysia berjaya mendahului menerusi gerakan solo Syahmi Safari yang memperdayakan tiga pertahanan lawan sebelum melakukan lorongan ke dalam petak penalti dan Zhu Chen Jie tertampan masuk bola ke dalam gawang sendiri minit ke-11 perlawanan.

Kealpaan pertahanan negara dan dalam masa sama menyangkakan pemain China berada dalam kedudukan ofsaid memakan diri apabila Zhang Yuning mudah menanduk masuk hantaran lambung Hu Jinghang.

Malaysia hampir menambah gol kedua apabila berlaku situasi kelam kabut di dalam petak penalti China, namun rembatan Hadi Fayyadh terkenan pertahanan lawan, tatkala sepakan susulan R Dinesh pula tersasar.

Permainan bersambung dengan rancak pada separuh masa kedua dengan kedua-dua pasukan sering berbalas serangan namun Malaysia terlebih dulu memperoleh jaringan hasil rembatan kemas Danial Haqim pada minit ke-54, selepas sepakan sudut Nik Akif Syahiran gagal ditangkap kemas penjaga gol lawan, Chen Wei.

China akhirnya berjaya memperoleh gol penyamaan pada minit ke-84 berpunca daripada hantaran lintang Wen Jiabao dan ditanduk masuk pemain pertahanan, Jiang Sheng Long.

Disiarkan pada: March 26, 2019 @ 11:14pm
d