arena

Jesus wira Selecao

Oleh AFP

BRAZIL menewaskan Republik Czech 3-1 menerusi dua jaringan lewat Gabriel Jesus dalam aksi persahabatan di Prague, awal pagi tadi.

Penyerang Manchester City itu meledak gol kedua Brazil selepas mendapat hantaran Danilo daripada sebelah kiri pada minit ke-83 diikuti jaringan ketiga enam minit kemudian apabila menolak bola tampanan kurang kemas penjaga gol lawan.

Czech terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-37 apabila pemain tengah David Pavelka yang tidak dikawal merembat kencang dari jarak jauh menewaskan penjaga gol Alisson.

Roberto Firmino menyamakan kedudukan empat minit selepas rehat hasil kesilapan pertahanan lawan yang cuba menghantar bola kepada penjaga gol Marek Suchy namun dirampas penyerang Brazil itu.

"Saya sangat gembira dengan Gabriel Jesus, saya bangga memberikannya peluang pada babak kedua,” kata jurulatih Brazil, Tite yang memasukkan pemain itu pada minit ke-72.

"Czech lebih kreatif pada separuh masa pertama, kami kurang aspek ini,” kata Tite.

"Babak pertama memang sukar. Saya terkejut dengan hantaran kami tetapi pemain gantian yang beraksi di babak kedua menjadikan permainan lebih berkesan.”

Kedua-dua pasukan masuk ke padang dengan perasaan berbeza. Czech masih dihantui kekalahan 5-0 kepada England dalam aksi kelayakan Euro 2020 di Wembley pada Sabtu lalu yang juga kekalahan paling besar dalam sejarah bola sepak negara itu.

Brazil pula yang dalam persiapan menghadapi Copa America bermula 14 Jun hanya mampu seri 1-1 dengan Panama dalam aksi persahabatan di Porto pada hari yang sama. .

"Sudah tentu kami akan menilai prestasi pemain dalam dua perlawanan ini tetapi kami masih ada masa lagi menjelang Copa America,” kata Tite.

Disiarkan pada: March 27, 2019 @ 9:38am
d