arena

Bautista Agut ragut impian Djokovic

Oleh AFP

IMPIAN Novak Djokovic memburu kejuaraan ketujuh Terbuka ATP Miami berakhir dengan dramatik selepas Roberto Bautista mencipta kebangkitan hebat menewaskan pemain nombor satu dunia itu 1-6, 7-5, 6-3 sekali gus mara ke suku akhir.

Pemain Sepanyol berusia 30 tahun itu mungkin menewaskan Djokovic dalam laluan muncul juara di Doha pada awal tahun ini tetapi juara15 kali Grand Slam Djokovic memulakan perlawanan seperti keretapi dalam saingan 16 terakhir.

Selepas hanya 25 minit, Djokovic mendahului 5-0 dan menguasai perlawanan sehingga semua strategi Bautista Agut serba tidak menjadi.

Bagaimanapun, perlawanan di set kedua yang bermula lewat akibat hujan bagaikan rahmat buat Bautista Agut.

Dia kembali menjadi pemain jauh berbeza dan menang perlawanan dalam masa dua jam 29 minit. Pilihan ke-22 itu akan menentang juara bertahan John Isner untuk penentuan tempat ke separuh akhir.

“Sudah tentu ia sangat istimewa buat saya,” kata Bautista Agut. "Saya cuba bermain agresif.”

Djokovic meninggalkan gelanggang dan terus menuju ke sidang akhbar bagi menjelaskan situasi perlawanan di Stadium Hard Rock.

"Dia pemain yang kental tetapi saya tidak sepatutnya tewas. Saya banyak melepaskan peluang,” katanya yang turut gagal melepasi peringkat sama di Indian Wells bulan ini.

"Saya rasa saya beraksi baik hari ini dan sepanjang kejohanan kecuali dua atau tiga perlawanan. Ini yang berlaku.”

Isner pula mara ke saingan lapan terbaik selepas menewaskan pemain nombor dua dunia dari Great Britain Kyle Edmund 7-6 (7/5), 7-6 (7/3) manakala pemain muda Kanada berusia 18 tahun Felix Auger-Aliassime yang mara daripada pusingan kelayakan menewaskan pemain Georgia, Nikoloz Basilashvili 7-6 (7-4), 6-4.

Auger-Aliassime akan menentang Borna Coric selepas pemain Croatia itu menewaskan Nick Kyrgios 4-6, 6-3, 6-2.

Dalam kategori wanita, pemain Estonia Anett Kontaveit mara kali pertama ke separuh akhir Miami selepas menyekat kemaraan pemain Taiwan, Hsieh Su-Wei dengan kemenangan 3-6, 6-2, 7-5.

Disiarkan pada: March 27, 2019 @ 10:31am
d