arena

'Kami tidak panik' - Hiddink

Oleh Ferzalfie Fauzi

"KAMI tahu apa yang perlu dilakukan apabila dua kali ketinggalan dengan Malaysia," jelas jurulatih skuad Bawah 23 Tahun (B23) China, Guus Hiddink selepas aksi terakhir kelayakan Kejuaraan AFC B-23 di Stadium Shah Alam, semalam.

Menurut bekas pengendali pasukan kebangsaan Belanda, Korea Selatan dan Australia itu, mereka sudah tahu apa perlu dilakukan ketika ketinggalan 0-1 dan 1-2 kepada skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee sebelum mengikat kedudukan 2-2.

"Kami tidak panik, sebagai jurulatih saya perlu bersedia dengan keadaan seperti ini. Sebab itu kami berasa puas kerana sudah berlatih untuk berdepan situasi ini beberapa kali," katanya yang membantu China layak secara automatik ke kejohanan berkenaan.

Ujar Hiddink, beliau juga tidak terkejut dengan kemahiran individu yang dipamerkan pemain Malaysia, kerana sudah melihat aksi membabitkan perlawanan persahabatan antara Malaysia dan Australia sebelum ini.

"Saya sudah melihat aksi membabitkan pasukan Malaysia sebelum ini dan ada yang mampu menewaskan pemain saya dengan mudah jika berdepan situasi satu lawan satu.

"Malaysia memang mempunyai pemain yang bagus dari segi kemahiran individu dan ia memberi sedikit kesukaran buat kami," katanya yang pernah menjadi jurulatih pasukan kebangsaan Russia. Hiddink juga mengakui berasa bangga dengan pencapaian anak buahnya yang dilihat mempunyai perwatakan tersendiri untuk bangkit selepas ketinggalan.

"Bagaimanapun, jika kita lihat perlawanan hari ini (semalam) intensitinya memang sangat tinggi selepas kedu-dua pasukan cuba utuk mencari kemenangan dan sedar jika keputusan seri ia tidak cukup untuk membantu melayakkan diri dan kita sendiri dapat lihat permainan menjadi sangat pantas," katanya yang pernah menjadi jurulatih pasukan kebangsaan Russia.

"Saya rasa keputusan seri sangat berhak buat kedua-dua pasukan, kerana tidak banyak peluang terbuka dan perlawanan bertukar kepada intensiti tinggi selepas masing-masing tidak mudah memberi ruang," katanya.

Dalam aksi semalam, Malaysia hampir melayakkan diri secara automatik apabila mendahului 2-1 namun enam minit sebelum perlawanan tamat China berjaya menjaringkan gol penyamaan melalui tandukan Jiang Shenlong.

Sebelum itu, Malaysia berada di depan pada minit ke-10 hasil gol sendiri Zhu Chenjie namun pemain yang pernah dipinjamkan ke Werder Bremen, Zhang Yuning menjaringkan gol penyamaan enam minit kemudian. Bagaimanapun, Malaysia kembali di depan pada minit ke-54 hasil jaringan Danil Haqim Draman, sebelum impian untuk layak secara automatik berkubur selepas gol penyamaan Jiang Shenlong.

Disiarkan pada: March 27, 2019 @ 10:43am
d