arena

TFC sudah 'masak' gaya Faiz, Latiff

Oleh Malik Muhamad

PERTEMUAN Terengganu FC (TFC) dengan Selangor di Stadium Shah Alam Jumaat ini dijangka menarik kerana lebih terarah kepada pertembungan bekas arkitek skuad Penyu, Mohd Faiz Nasir dan Abdul Latiff Suhaimi dengan bekas rakannya dalam TFC.

Pertahanan tengah TFC, Nasrullah Hanif Johan melabelkan pertemuan itu bakal menjanjikan aksi menarik dan ditunggu peminat setia kedua-dua pasukan itu.

"Selepas 'berpisah’ musim ini dengan dua rakan seperjuangan itu (Faiz dan Latiff), pertembungan skuad Penyu dengan skuad The Red Giants dilihat paling menarik dan dinantikan semua peminat bola sepak negeri.

"Kami juga saling mengetahui corak permainan masing-masing kerana sudah dua musim bersama sejak 2017 dalam saingan Liga Perdana sekali gus bakal menambah lagi 'perisa’ dalam pertemuan ini.

"Bagaimanapun, bagi saya sebagai pemain pertahanan tidak sukar untuk mengawal dua pemain itu kerana saya sudah boleh baca corak permainan Faiz dan Latiff.

"Ini ditambah pula dengan pengalaman barisan jurulatih kami yang diketuai Irfan Bakti Abu Salim yang pasti sudah 'masak’ dengan corak permainan kedua-dua pemain itu,” kata Nasrullah yang lebih mesra dipanggil Anas.

Berdasarkan rekod musim lalu, skuad kendalian B Sathianathan itu menghampakan pasukan TFC untuk berada di tangga kedua Liga Super selepas tumpas 0-2 pada aksi pusingan kedua di Stadium Shah Alam, namun pada pusingan pertama, skuad Penyu menang 4-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Mengulas lanjut, Nasrullah yang kini mendapat tonik tambahan selepas berjaya meledak gol peribadi pertamanya musim ini ketika menumpaskan Melaka United pada aksi terakhir sebelum ini turut mengingatkan dirinya dan rakan sepasukan waspada dengan penyerang skuad itu, Rufino Segovia dan Amri Yahyah.

"Kita mahu meneruskan momentum kemenangan untuk elak keciciran mata lagi jauh dengan pasukan kelompok teratas liga iaitu JDT (Johor Darul Ta'zim) dan Pahang.

"Sebab itu kami perlu merantai semua pemain Selangor daripada bergerak bebas biarpun beraksi di laman mereka," katanya yang juga anak kepada bekas pemain ATM pada era 90-an, Johan Leman.

Selepas pertemuan dengan Selangor, TFC bakal melayani kunjungan pasukan kelab, Ultimate FC pada aksi Piala FA pusingan kedua pada 2 April depan diikuti PKNP FC pada 6 April juga di laman sendiri.

Disiarkan pada: March 27, 2019 @ 1:30pm
d