arena

Solskjaer 'letak bas' macam Mourinho - Van Gaal

Oleh BBC

LOUIS van Gaal mengatakan gaya permainan Manchester United masih tidak berubah di bawah pengendali sementara, Ole Gunnar Solskjaer.

Laporan media kelmarin menyebut United kian hampir untuk melantik bekas penyerang dari Norway itu sebagai pengurus tetap mereka.

Ole, 46, sudah memenangi 14 daripada 19 perlawanan setakat ini sejak menggantikan Jose Mourinho pada Disember lalu.

Van Gaal yang berada di Old Trafford selama dua tahun mengakui Solskjaer berjaya tetapi yakin cara permainan digunakan tidak banyak berbeza dengan Mourinho.

“Jurulatih selepas saya (Mourinho) menukar taktik ‘letak bas’ dan mengamalkan corak serangan balas pantas,” kata pengurus dari Belanda itu kepada BBC.

“Sekarang ada seorang lagi jurulatih yang meletak bas dan bermain serangan balas.

“Beza Mourinho dan Solskjaer adalah Solskjaer menang dengan cara itu.

“Saya tidak berada di tempatnya tetapi terdapat sedikit perubahan dan suasana lebih baik.

“Memang ada kebenarannya apabila Solskjaer menukar posisi Paul Pogba dan meletakkannya di tempat yang lebih penting dalam padang,” katanya.

Van Gaal berkata cara permainan Manchester United sekarang bukanlah cara Sir Alex Ferguson gunakan sebelum ini.

“Ia corak bertahan dan bolasepak serangan balas.

“Jika anda suka, anda akan suka. Jika anda rasa ia lebih menarik berbanding serangan saya membosankan, OK”.

United kini berada di tangga kelima Liga Perdana Inggeris (EPL), akan berdepan Barcelona pada suku akhir Liga Juara-Juara (UCL), bulan depan.

Disiarkan pada: March 27, 2019 @ 1:37pm
d