arena

10 hari tanpa Irfan...

Oleh Malik Muhamad

PEMAIN Terengganu FC (TFC) 'hilang nakhoda’ mulai 6 April depan apabila ketua jurulatihnya, Irfan Bakti Abu Salim perlu menghadiri kursus Lesen Pro di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun Irfan menyatakan tiga pembantunya iaitu Mohamad Nik, Kamaruddin Annuar, Nafuzi Zain dan jurulatih penjaga gol, Yazid Mohd Yassin mampu memikul tugasan ditinggalkan.

"Saya berkursus 10 hari saja dan terlepas dua perlawanan Liga Super iaitu bertemu PKNP FC pada 6 April di Kuala Terengganu dan Kedah (12 April) di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

"Saya tidak risau kerana tiga penolong jurulatih dan jurulatih penjaga gol adalah mereka berpengalaman dalam bidang kejurulatihan bolasepak.

"Jadi, tidak timbul masalah kepada pasukan sepanjang ketiadaan saya apatah lagi pemain sudah biasa dengan jurulatih berkenaan kerana sudah hampir tiga tahun bersama sejak Liga Perdana 2017.

"Apa saya harap pemain akan mengikut perancangan jurulatih bagi memastikan rentak kemenangan terus diraih bagi mengelak tercicir mata lebih jauh dengan pendahulu liga," katanya.

Terengganu akan berdepan Selangor, Jumaat ini.

TFC mengharapkan sentuhan jurulatih berpengalaman itu untuk mengutip tiga mata bertandang ke gelanggang lawan sebelum menanti kunjungan kelab, Ultimate FC dalam aksi Piala FA pusingan kedua pada 2 April.

Sepanjang karier Irfan dalam bidang kejurulatihan, bekas pemain Perak itu sudah membimbing lapan pasukan termasuk kelab Persipura Jayapura (Liga Indonesia), Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Telekom Melaka, Perlis, Selangor, FELDA United dan terkini TFC.

Disiarkan pada: March 27, 2019 @ 5:45pm
d