arena

Tabung Lagenda Anuar Abu Bakar dilancar [METROTV]

Oleh Faliq Lajim

MAJLIS Bandaraya Shah Alam (MBSA), hari ini, melancarkan Tabung Lagenda Anuar Abu Bakar iaitu bekas pemain bolasepak Selangor yang disahkan menghidap kanser hati tahap empat.

Tabung itu adalah inisiatif MBSA dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) bagi membantu meringankan beban bekas pemain bola sepak negeri ini dari 1993 sehingga 1997.

Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan berkata, peminat bola sepak tanah air dikejutkan dengan berita mengenai Anuar yang disahkan menghidap kanser.

"Oleh demikian, atau sumbangan beliau dalam arena bola sepak ini, MBSA melancarkan tabung untuk Anuar bagi meringankan beban belaiu sepanjang tempoh rawatan.

"Bagi pihak MBSA, tabung ini akan diedarkan dalam program MBSA iaitu Earth Hour, Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan dan Tarik Tali Piala Datuk Bandar yang akan datang," katanya pada majlis pelancaran Tabung Lagenda Anuar Abu Bakar di Wisma MBSA di Shah Alam, hari ini.

Hadir, Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon.

Pada masa sama, Mohd Rashidi berkata, pihaknya tidak boleh mengulas lanjut berkenaan tahap kesihatan Anuar berikutan ia lebih berhak dibuat oleh keluarganya sendiri.

Sementara itu, Dr Johan berkata, pihaknya bersetuju untuk menyumbang RM1 daripada setiap tiket perlawanan antara Selangor menentang Terengganu (29 Mac), Perak (12 April) dan PKNP (21 April).

"Tabung ini juga akan diedarkan ketika perlawanan di Stadium Shah Alam. Mengikut perancangan, hasil kutipan itu akan diberikan kepada Anuar ketika Selangor menentang PKNP nanti.

"Kita terbuka kepada penyokong dan peminat bola sepak tegar di Selangor kepada keluarga Anuar Abu Bakar setimpal pengorbanannya ketika menyarung jersi merah kuning," katanya.

Sumbangan juga boleh disalurkan melalui akaun Maybank isteri Anuar iaitu Siti Mariam Sathawee di 114348093007.

Anuar sebelum ini menepis dakwaan sesetengah pihak bahawa dia sudah nazak sehingga terlantar dan tidak boleh bergerak.

Beliau dimasukkan ke hospital dua minggu lalu selepas berasa tidak sihat sebelum menjalani pemeriksaan lanjut dan doktor mengesyaki kemungkinan menghidap kanser hati tahap empat.

Keadaannya beransur pulih sebelum doktor membenarkan Anuar pulang ke rumah sekali gus menolak dakwaan dan laporan media keadaannya tenat.

PIX dan Video: Faliq Lajim dan Mustafa Kamal

Disiarkan pada: March 27, 2019 @ 6:22pm
d