arena

The Fighters sedia layan Tok Gajah

Oleh Asrol Awang

SKUAD FELDA United FC sudah membuat persediaan sebaiknya apabila melayan kunjungan Pahang di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Maran, Sabtu ini. 

Pengendali The Fighters, Mohd Nidzam Jamil berkata, tempoh rehat tiga minggu sudah dimanfaatkan sebaik mungkin memperbaiki segala kelemahan yang dipersembahkan sepanjang enam perlawanan lalu. 

"Bagi saya, segala kelemahan yang ada sudah diatasi dengan sebaik mungkin bukan sahaja persediaan menghadapi Pahang, malah pasukan yang mempunyai nama besar seperti Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC). 

"Oleh itu, The Fighters akan memulakan kembali saingan Liga Super berdepan Pahang Sabtu ini dengan memberi tentangan dan komitmen tinggi sepanjang 90 minit perlawanan. 

"Segala kekurangan yang dipersembahkan sebelum ini sudah dipertingkatkan dan diharap dapat diterjemahkan sebaik liga bersambung," katanya. 

Mohd Nidzam mengesahkan dua pemain kelab itu, Danial Amier Norhisham dan Sadam Hashim tidak dapat beraksi pada perlawanan itu.

Katanya, Danial dan Sadam, masing-msing mengalami kecederaan ketika bersama skuad bawah 23 tahun (B-23) dan terbabit dalam kemalangan. 

"Setakat ini, saya boleh sahkan bahawa khidmat dua pemain tengah ini tidak dapat senaraikan dan harap pemain lain mampu mengisi kekosongan itu apabila melayan kunjungan Pahang nanti," katanya. 

Selepas enam perlawanan, FELDA United merekodkan satu kemenangan, tiga seri dan tewas dua kali sekali gus meletakkan kelab itu di kedudukan kelapan mengumpul enam mata.

Disiarkan pada: March 27, 2019 @ 6:54pm
d