arena

ICC medan ujian kelab handalan dunia - Ravanelli

Oleh Syazwan Msar

PENGANJURAN Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) 2019 menjadi medan terbaik buat kelab ternama menguji serta memantapkan kesebelasan utama bagi menghadapi persaingan liga dan kejohanan peringkat antarabangsa.

Legenda dan bekas pemain Juventus, Fabrizio Ravanelli berkata, penganjuran ICC 2019 bakal menyajikan aksi yang kompetitif antara empat pasukan yang bertanding dalam saingan itu.

Beliau berkata, setiap pemain yang menyertai kejohanan terbabit pasti mahu mempamerkan aksi terbaik sekali gus menolak andaian bahawa ia tidak memberi manfaat kepada pasukan yang menyertainya.

"Setiap pasukan pasti mahu menang dan bukan saja sekadar perlawanan namun kejohanan itu bakal menyaksikan kemahiran serta bakat pemain.

"Sudah tentu Juventus mempunyai ramai pemain berbakat akan mempamerkan aksi terbaik mereka untuk bersaing dengan pasukan yang hebat.

Kejohanan terbabit juga sebagai persiapan kepada pasukan untuk menghadapi musim baharu nanti,” katanya pada sidang media selepas pelancaran ICC 2019 di The Incubator, Singapura, hari ini.

Selain Ravanelli, bekas penyerang Tottenham Hotspur Teddy Sheringham, bekas penjaga gol Itali/Inter Milan Francesco Toldo dan bekas pemain Manchester United, Dwight Yorke turut hadir pada majlis itu bagi mewakili pasukan masing-masing yang akan berentap pada aksi yang akan berlangsung di Stadium Nasional Singapura, Julai ini.

Sheringham berkata, ICC 2019 bakal menghimpunkan pemain terbaik daripada kelab ternama sekali gus memberi peluang kepada peminat Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Serie A melihat aksi mereka secara lebih dekat lagi.

Katanya, Tottenham pasti menyertai kejohanan terbabit dengan misi besar iaitu mahu mengekalkan kejuaraan pada tahun lalu dengan menurunkan kesebelasan utama mereka.

“Antara cabaran lain bagi pasukan yang bertanding adalah cuaca panas sekali gus menguji pemain yang rata-rata mungkin tidak biasa dengan keadaan terbabit.

“Namun, yang pasti Tottenham tidak akan memberi peluang walaupun bakal menentang pasukan hebat terdiri daripada pemain ternama,” katanya.

Disiarkan pada: March 27, 2019 @ 7:30pm
d