arena

Atlet Para Negeri Sembilan terima habuan

Oleh BERNAMA

KERAJAAN Negeri Sembilan hari ini membayar insentif keseluruhan berjumlah RM117,200 kepada atlet para Negeri Sembilan yang berjaya meraih pingat pada Para Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pembayaran insentif itu membabitkan 121 atlet dan pegawai sukan selepas berjaya mengumpul 11 pingat emas, 15 perak dan 16 gangsa.

"Bagi atlet dan pegawai Para Sukma, mereka menerima RM600 sehingga RM4,000 mengikut kategori pingat yang diperolehi emas, perak dan gangsa," katanya pada Majlis Penyampaian Insentif Para Sukma bagi Kontinjen Para Sukma Negeri Sembilan, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri Mohamad Taufek Abd Ghani, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Nicole Tan Lee Koon dan Presiden Persatuan Sukan Orang Kurang Upaya (PESRON) Shahruddin Sidek.

Aminuddin berkata ganjaran insentif itu diberi sebagai penghargaan kepada atlet dan jurulatih yang mengangkat nama negeri di persada sukan tanah air.

"Kepada atlet-atlet para Sukma Negeri Sembilan yang lain, saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah diatas pencapaian cemerlang yang ditunjukkan semasa bertanding pada kejohanan Para Sukma ke-19 ini," katanya.

Pada majlis itu, dua atlet menerima insentif tambahan iaitu Anas Zul Amirul Sidi bagi acara renang selepas memecah rekod kebangsaan manakala Nur Feiqha Maulad Mohamed Halil (catur) dinobat sebagai olahragawati yang masing-masing menerima insentif tambahan berjumlah RM4,000 dan RM2,000.

Disiarkan pada: March 27, 2019 @ 9:11pm
d